NCT Innosphere pemacu SBEZ Bukit Kayu Hitam

NCT Innosphere pemacu SBEZ Bukit Kayu Hitam

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) sambil disaksikan Lim Hui Ying, Yap Ngan Choy dan tetamu kenamaan lain menandatangani plak perasmian pada Majlis Pelancaran NCT Innosphere di SBEZ Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Taman Perindustrian Pintar Terurus (MIP) NCT Innosphere yang dibangunkan bersebelahan sempadan Malaysia-Thailand, di sini menjadi pemacu pembangunan Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam.

Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan RM1.1 bilion, projek itu dirancang sebanyak lapan fasa yang setiap satunya merangkumi campuran komponen perindustrian, komersial dan sokongan untuk menggalakkan aktiviti operasi, perdagangan dan pembuatan yang cekap.

Pembangunan di atas tanah berkeluasan 55.44 hektar itu menyediakan lebih 230 unit termasuk unit berkembar, sesebuah, kelompok, berangkai dan konfigurasi binaan khas yang direka bentuk untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor perniagaan.

Pengarah Urusan Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pihaknya bertanggungjawab bagi penyerahan penuh projek itu termasuk perancangan, pembinaan dan pembangunan ekosistem. 

“Northern Gateway (NGX) iaitu anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang merupakan pemaju induk SBEZ pula sebagai pemilik tanah dan pemudah cara yang akan memantau kerja infrastruktur utama, penyediaan utiliti dan penyelarasan kawal selia bagi menjamin pelaksanaan projek yang lancar. 

“Kami berganding bahu dengan Kerajaan Kedah dan NGX dalam mencetus transformasi bertaraf dunia kerana NCT Innosphere bukan sahaja mencipta nilai ekonomi jangka panjang bagi kawasan utara, tetapi menyokong usaha Malaysia mempelbagaikan saluran logistik dan menyelaraskan perdagangan lancar antara pasaran serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran NCT Innosphere yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

NCT Innosphere dilaksanakan susulan kepada kejayaan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di Selangor yang dilancarkan Kumpulan NCT pada 2023 dan merupakan MIP bertauliah pertama di Malaysia dengan kadar jualan fasa pertama mencecah 80 peratus.

Ngan Choy berkata, lokasi strategik bersebelahan sempadan Malaysia-Thailand dan berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang meletakkan NCT Innosphere sebagai pintu masuk perdagangan laluan darat penting ke Koridor Utara di samping menjadi hab bagi pelbagai industri utama terutama logistik.

“MIP kedua kami ini ialah satu lonjakan strategik ke hadapan dalam komitmen untuk mencorakkan masa depan perindustrian Malaysia dengan ekosistem berimpak tinggi. NCT Innosphere dirangka untuk memanfaatkan kekuatan perdagangan rentas sempadan, kecekapan logistik dan infrastruktur pintar.

“Selain itu ia mewujudkan platform penting bagi pembangunan pesat industri maju seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik dan logistik pintar,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yakin NCT Innosphere akan menjadi katalis dalam usaha untuk mengembalikan Kedah sebagai pintu utama perdagangan dan pelaburan serantau.

“Kejayaan ini hasil perancangan strategik NGX dan kepakaran NCT yang merealisasikan hasrat Kedah memiliki taman perindustrian elit, sekali gus meningkatkan daya tarikan negeri terhadap pelaburan strategik dan memacu pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Hui Ying pula berkata, NCT Innosphere mengukuhkan kedudukan kawasan itu sebagai hab industri moden yang bukan sekadar projek fizikal, tetapi simbol keyakinan kerajaan terhadap potensi Kedah yang menawarkan persekitaran pengilangan pintar, teknologi hijau dan ekosistem rantaian bekalan serantau yang kukuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN