PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersedia untuk berdialog secara konstruktif dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta semua ahli Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian perkhidmatan kesihatan negara.
Presidennya, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, MMA memandang serius kenyataan terkini Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung cadangan daripada badan pemikir bebas supaya elaun ahli Parlimen diselaraskan bagi menampung kenaikan elaun tugas atas panggilan (ETAP) doktor.
Bagaimanapun, katanya, isu tersebut tidak wajar dilihat sebagai pertentangan antara doktor dan ahli Parlimen.
“Ramai ahli Parlimen berpegang pada prinsip, bekerja keras serta konsisten memperjuangkan kesihatan dan kebajikan rakyat. Kami menghargai sokongan mereka dan berharap kerjasama erat dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, elaun tugas atas panggilan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya pengiktirafan kepada tugas doktor yang sering melebihi 24 jam tanpa rehat mencukupi, mengendalikan kes kritikal hidup dan mati serta membuat keputusan segera di bawah tekanan.
Namun, katanya, kadar semasa elaun tersebut hanya RM9.16 sejam dan tidak pernah disemak lebih 10 tahun walaupun beban kerja serta tanggungjawab doktor semakin meningkat.
“Apabila doktor keletihan dan hilang semangat, kesannya memberi impak terus kepada keselamatan serta kualiti rawatan pesakit. Justeru, isu ini wajar diberi perhatian serius oleh ahli Parlimen dalam perbahasan di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat berhak mendapat perkhidmatan perubatan daripada doktor yang kompeten, disokong dengan imbuhan adil, beban kerja seimbang dan hala tuju kerjaya yang jelas.
“Atas sebab itu, MMA menggesa agar isu elaun on-call dibahaskan segera, bukan hanya demi kepentingan doktor tetapi untuk menjamin keselamatan pesakit serta daya tahan jangka panjang sistem kesihatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Thirunavukarasu berkata, MMA terbuka untuk berbincang secara konstruktif dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta semua ahli Parlimen bagi merangka reformasi kesihatan yang menyeluruh.
“Kami percaya dengan kerjasama erat, reformasi yang dicapai kelak akan mampu menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia serta memastikan kelestarian perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak cadangan pemotongan 50 peratus elaun ahli Parlimen bagi membiayai kenaikan elaun tugas atas panggilan doktor.
Johari dalam wawancara bersama BFM yang disiarkan baru-baru ini berkata, walaupun ahli Parlimen penyokong kerajaan menerima sekitar RM25,000 sebulan dalam bentuk elaun, jumlah itu ‘sebenarnya tidak mencukupi’ meskipun ‘kedengaran besar’.
Katanya, menteri pula menerima imbuhan sebanyak RM40,000 sebulan.
Penyampai BFM, Sharaad Kuttan bertanyakan pandangan beliau mengenai cadangan portal CodeBlue supaya elaun dan pencen ahli Parlimen serta Senator dipotong 50 peratus.
Katanya, ia dijangka menjana RM83.5 juta setahun bagi menampung kos RM80 juta untuk menaikkan elaun tugas atas panggilan doktor sebanyak 25 peratus. – UTUSAN








