PETALING JAYA: Kerajaan wajar mengembalikan kuota subsidi bahan api bulanan sebanyak 300 liter di bawah Budi Madani (BUDI95) khusus kepada petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan bagi memastikan kelangsungan operasi sistem kesihatan awam negara.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, gesaan Majlis Perundingan Kesatuan Sekerja (MAPSU) berhubung perkara tersebut dengan bukan soal keistimewaan, sebaliknya keperluan operasi dan keadilan kepada petugas terlibat.
Katanya, penyampaian perkhidmatan kesihatan memerlukan kehadiran fizikal petugas di fasiliti kesihatan setiap hari, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak tanpa pilihan bekerja dari rumah apabila melibatkan penjagaan pesakit.
“Berbeza dengan sektor lain yang boleh memanfaatkan pengaturan kerja fleksibel, petugas kesihatan perlu melapor diri tanpa mengira lokasi, waktu syif atau kos peribadi.
“Oleh itu, pendekatan seragam terhadap rasionalisasi subsidi bahan api tidak mencerminkan realiti sebenar di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Thirunavukarasu berkata, pada masa sama, isu itu perlu dilihat dalam konteks lebih meluas melibatkan sistem kesihatan awam negara yang kini berdepan kekangan peruntukan, beban kerja tinggi serta kekurangan tenaga kerja.
Namun katanya, petugas kesihatan masih memberi perkhidmatan kepada majoriti rakyat Malaysia dengan kira-kira 70 peratus penduduk bergantung kepada mereka.
“Sistem yang kekurangan dana dan tenaga tidak mampu menanggung beban tambahan, terutama ketika permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan semakin meningkat akibat penyakit kronik, populasi menua serta keperluan kesihatan yang kian bertambah.
“Tekanan kewangan tambahan ke atas petugas kesihatan berisiko menjejaskan moral, tumpuan serta kadar pengekalan tenaga kerja, sekali gus memberi kesan kepada penjagaan pesakit,” katanya.
Dr. Thirunavukarasu berkata, MMA berharap kerajaan mengambil pendekatan bersasar dan pragmatik dengan mengembalikan kuota subsidi bulanan 300 liter atau memberikan pengecualian khusus kepada petugas kesihatan yang perlu hadir secara fizikal untuk bertugas di bawah KKM.
“Walaupun menyokong tanggungjawab fiskal dan keperluan merasionalisasikan subsidi, dasar yang diperkenalkan mestilah adil serta berpaksikan realiti operasi.
“Menyokong petugas kesihatan bukanlah satu bentuk konsesi, sebaliknya pelaburan penting dalam ketahanan, kestabilan dan prestasi sistem kesihatan awam Malaysia,” katanya.
Media semalam melaporkan, Presiden MAPSU, Ajulahin Japin menggesa kerajaan mengembalikan kuota subsidi kepada 300 liter bagi pekerja kesihatan memandangkan mereka tidak boleh bekerja dari rumah.
Katanya, majoriti pekerja kesihatan perlu berulang-alik dalam jarak yang jauh setiap hari khususnya di Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar Sabah serta Sarawak. – UTUSAN










