PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan pemberian subsidi diesel dengan menggunakan sistem BUDI95.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu juga kini menjadi fokus Jemaah Menteri untuk penelitian.
“Waktu ini kerajaan sedang meneliti pelaksanaan pemberian subsidi diesel yang kita cuba selaraskan dengan BUDI95. Itu menjadi fokus Jemaah Menteri pada ketika ini,” katanya semasa sidang akhbar Menteri Komunikasi di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat cadangan untuk mengurangkan subsidi BUDI95 kepada 150 liter, beliau memaklumkan, tiada perbincangan mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkaitan had penggunaan petrol 150 liter sebulan, Fahmi berkata, kenyataan itu dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan.
“Saya mengikuti rakaman video dan agak jelas yang beliau maksudkan adalah berdasarkan kajian oleh Kementerian Kewangan mengenai tahap 300 liter, berapa ramai rakyat Malaysia yang mendapat manfaat 200 liter, 150 liter, 100 liter.
“Bila disebut tahap-tahap kajian, itu yang telah disalah faham tetapi tidak dibincangkan hari ini,” katanya. – UTUSAN









