Pengamal terapi didenda RM4,000, sebar maklumat palsu BUDI95

Pengamal terapi didenda RM4,000, sebar maklumat palsu BUDI95

ARIFFAIZAL Mohd Nor Ariffin ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Sepang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang pengamal terapi pusat rawatan alternatif didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu berkaitan Budi Madani RON95 (BUDI95).

Tertuduh, Ariffaizal Mohd Nor Ariffin, 46, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa hantaran palsu di akaun Facebook dengan niat menyakitkan hati mana-mana pihak kira-kira pukul 9.55 malam pada 6 April lalu.

Hantaran itu kemudian dikesan pada 7 April kira-kira jam 5 petang di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Mengikut fakta kes, tertuduh berkongsi hantaran di Facebook yang memaparkan poster Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta ayat ‘Jika guna MyKad orang lain, hari ini isi minyak tak sampai 24 jam esok masuk penjara’.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Ariffaizal memahami pertuduhan itu dan mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Ahmad Fuad kemudian memerintahkannya tertuduh didenda RM4,000 dan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad menasihatkan tertuduh supaya lebih berhati-hati menggunakan media sosial kerana setiap hantaran yang dimuat naik boleh dilihat ribuan pengikut sebelum dikongsi sehingga menjadi tular.

“Jangan kongsi perkara seperti ini, sebaliknya lebih baik berhenti apabila ia sampai kepada kita di media sosial, dosa dapat, hukuman pun dapat,” katanya.

Terdahulu, peguam Ariffaizal, Shahidah Muslimah Roslan merayu hukuman denda diringankan kepada RM3,000 atas alasan tertuduh mempunyai sembilan orang anak serta mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan.

Shahidah Muslimah berkata, anak guamnya turut menghidap penyakit gout selain terpaksa menanggung ayah berusia 80 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN