PETALING JAYA: Tiada sebarang sekatan terhadap rakyat untuk menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara yang berkait siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh individu selain pemiliknya.
Katanya, ia selaras dengan bidang kuasa jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri.
“Inisiatif BUDI95 merupakan usaha Kerajaan Madani bagi memastikan pemberian subsidi lebih bersasar, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad masing-masing bagi menikmati subsidi tersebut namun ia perlu mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPN berkata, berdasarkan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan.
“Sehubungan itu jabatan bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan.
“Dalam pada itu, siasatan kes dilaporkan tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan empat keping MyKad oleh seorang individu di Kelantan dan bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan kerajaan,” katanya.
Tambah JPN, orang ramai turut diseru menggunakan MyKad dengan penuh tanggungjawab serta tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi sebarang urusan termasuk pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang dan risiko penyalahgunaan identiti.
JPN turut menegaskan komitmennya memastikan MyKad yang dikeluarkan berfungsi sebagai instrumen pengenalan diri yang sah dan diyakini, termasuk menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti BUDI95.
“Pada masa sama, aspek penyalahgunaan subsidi termasuk pelaksanaan BUDI95 adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan.
“Semua pihak digesa merujuk sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat tafsiran agar perbincangan awam dapat berlangsung secara berhemah dan berfakta,” katanya.
JPN berkata, pihaknya akan terus komited memastikan kedaulatan serta keselamatan sistem pendaftaran negara kekal terpelihara dan diyakini rakyat. – UTUSAN










