KUALA LUMPUR: Segelintir doktor didakwa menyewakan Surat Pengiktirafan Kelayakan dan (LCP) kepada pengendali estetik dan membekalkan ubat preskripsi bagi tujuan penurunan berat badan tanpa penilaian perubatan.
Presiden Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, sekiranya dakwaan tersebut terbukti, amalan berkenaan merupakan pelanggaran serius terhadap etika profesional serta pengabaian tanggungjawab penjagaan terhadap pesakit.
Menurut beliau, LCP bukan dokumen yang boleh diperdagangkan kerana ia merupakan kelayakan profesional yang terikat kepada kompetensi individu doktor, pertimbangan klinikal serta akauntabiliti.
“Apabila sesebuah klinik beroperasi atas nama seorang doktor tanpa penyeliaan sebenar atau apabila LCP secara efektif disewakan, tanggungjawab tersebut tidak terhapus.
“Pembekalan ubat seperti Ozempic dan Mounjaro bagi penurunan berat badan tanpa penilaian serta pemantauan perubatan adalah tidak wajar.
“Tanggungjawab penjagaan tetap terletak pada doktor berkenaan. Tanggungjawab ini tidak boleh dipindah milik dan membawa implikasi perundangan perubatan di bawah undang-undang serta peraturan profesional sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, MMA turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan ubat metabolik berpotensi tinggi sebagai penyelesaian kosmetik segera.
Menurutnya, semaglutide dan tirzepatide dibangunkan untuk indikasi klinikal tertentu termasuk rawatan diabetes serta pengurusan obesiti di bawah penyeliaan perubatan yang berstruktur dan bukannya sebagai jalan pintas gaya hidup.
Katanya, pemberian preskripsi ubat-ubatan tersebut tanpa pengambilan sejarah perubatan lengkap, penilaian risiko, siasatan asas, kaunseling serta pemantauan susulan boleh mendedahkan pesakit kepada risiko kemudaratan yang boleh dicegah.
“Kesan sampingan boleh merangkumi simptom gastrousus yang teruk dan dehidrasi sehingga komplikasi yang lebih serius.
“Permintaan yang tidak wajar juga berpotensi menjejaskan akses pesakit yang benar-benar memerlukan ubat tersebut untuk kawalan penyakit kronik,” katanya.
Tambahnya, obesiti dan penyakit metabolik dipengaruhi pelbagai penentu sosial kesihatan yang kompleks termasuk persekitaran pemakanan, corak pekerjaan, tekanan, kesihatan mental serta faktor sosioekonomi.
“Suntikan semata-mata tidak mampu menangani punca masalah tersebut kerana hasil kesihatan yang mampan memerlukan penjagaan menyeluruh dan berstruktur.
“MMA ingin mengingatkan semua doktor bahawa setiap preskripsi yang ditandatangani dan setiap fasiliti yang beroperasi atas nama mereka mencerminkan tanggungjawab profesional masing-masing.
“Sebarang pengaturan kewangan tidak boleh sesekali menjejaskan standard klinikal. Prinsip ini terpakai sama ada di klinik fizikal, pusat estetik mahupun platform digital atau teleperubatan,” katanya.
Pada masa sama, MMA menyokong siasatan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran selain menggesa semua pengamal perubatan mempertahankan standard profesional yang menjadi asas profesion tersebut. – UTUSAN








