Perlindungan indemniti profesional doktor terjamin hingga sijil amalan dikeluarkan

Perlindungan indemniti profesional doktor terjamin hingga sijil amalan dikeluarkan

R. THIRUNAVUKARASU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlindungan indemniti profesional pengamal perubatan dijamin kekal berkuat kuasa walaupun berlaku kelewatan pengeluaran Sijil Amalan Tahunan (PAT) bagi tahun ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, perkara itu susulan pengesahan rasmi yang diterima daripada dua penjaga penyediaan kesihatan iaitu Persatuan Perlindungan Perubatan (MPS) dan MEDEFEND.

Katanya, pengesahan itu melibatkan doktor yang telah menerima perlindungan indemniti atau medikolegal bagi tempoh bermula 1 Januari lalu serta telah mengemukakan permohonan PAT kepada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) sebelum atau pada 31 Disember 2025.

“Doktor dalam kategori ini akan terus dilindungi sepenuhnya di bawah polisi atau terma keahlian masing-masing sepanjang tempoh interim selaras dengan penjelasan yang diberikan oleh MPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Thirunavukarasu berkata, komitmen MPS dan MEDEFEND itu memberikan jaminan penting kepada semua pengamal perubatan bagi memastikan kesinambungan perlindungan indemniti sementara menunggu pengeluaran rasmi PAT.

“MMA menghargai sokongan rakan-rakan indemniti ini yang secara konsisten mengekalkan piawaian perlindungan medikolegal yang tinggi kepada pengamal perubatan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MMA mengambil maklum kebimbangan berterusan dalam kalangan pengamal perubatan am swasta dan pakar berhubung kelewatan pengeluaran PAT bagi 2026.

Katanya, MMA merujuk kepada kenyataan MPM bahawa doktor yang mengemukakan permohonan PAT lengkap, memenuhi semua keperluan berkanun serta membuat bayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025 dibenarkan untuk terus berkhidmat sementara permohonan mereka masih diproses dalam Sistem Maklumat dan Teknikal Daftar Perubatan (MeRITS), dengan syarat tiada sekatan lain di bawah Akta Perubatan 1971.

“Perkembangan terkini daripada Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) berhubung penguatkuasaan kawal selia serta penghargaan kepada Menteri Kesihatan atas komitmen beliau dalam menangani isu ini.

“MMA kekal komited untuk terus berinteraksi secara aktif dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan hak dan kedudukan profesional pengamal perubatan dilindungi, selain menyokong kesinambungan penjagaan pesakit di seluruh sektor penjagaan kesihatan swasta,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, sekiranya CKAPS menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan mendapati seorang pengamal perubatan mengamal tanpa PAT di fasiliti berlesen atau berdaftar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 31(1)(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] termasuk pengeluaran notis tunjuk sebab (NTS) atau kompaun.

Namun katanya, bagi isu kelewatan pengeluaran PAT 2026, Bahagian Amalan Perubatan (BAP) mengambil maklum kenyataan rasmi MPM.

“Selaras dengan ketetapan MPM, tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan oleh CKAPS terhadap mana-mana pengamal perubatan yang belum menerima PAT 2026 sekiranya mereka telah membuat permohonan dan bayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025 dan permohonan tersebut masih dalam proses di dalam sistem MeRITS,” katanya.

MPM memaklumkan, pengamal perubatan yang masih belum menerima PAT 2026 dibenarkan untuk terus berkhidmat tanpa sebarang tindakan sementara permohonan mereka sedang diproses, susulan jumlah permohonan yang tinggi ketika ini.

Katanya, kelonggaran itu terpakai kepada mana-mana pengamal perubatan yang telah mengemukakan permohonan, membuat bayaran serta mematuhi semua syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025, namun permohonan mereka masih dalam proses melalui MeRITS.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kelewatan MPM meluluskan PAT 2026 boleh menjejaskan sektor perkhidmatan kesihatan negara apabila menyebabkan lebih 14,000 doktor dilaporkan berkhidmat secara tidak sah.

Kelewatan tersebut menimbulkan kebimbangan serius kerana PAT merupakan sijil rasmi yang diperlukan oleh setiap pengamal perubatan berdaftar untuk berkhidmat secara sah di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN