Nilai semula Bayaran Insentif Wilayah petugas kesihatan

Nilai semula Bayaran Insentif Wilayah petugas kesihatan

THIRUNAVUKARASU RAJOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menilai semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dan pemulihan struktur insentif yang adil bagi doktor yang berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memastikan kelangsungan sistem penjagaan kesihatan negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, langkah itu penting kerana kenyataan yang mentakrifkan BIW sebagai sekadar keistimewaan dan bukannya pengiktirafan terhadap perkhidmatan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan doktor.

Katanya, ribuan doktor yang telah mendedikasikan perkhidmatan mereka selepas menjalani pengajian perubatan, latihan sebagai pegawai perubatan siswazah serta tempoh perkhidmatan wajib, termasuk penempatan di kawasan terpencil.

“Doktor yang ditempatkan di Sabah, Sarawak dan Labuan berdepan cabaran termasuk kos perpindahan, perpisahan dengan keluarga, akses terhad kepada sokongan pakar, kemudahan serta keperluan pesakit yang kompleks.

“Elaun BIW selama ini bukan hanya berfungsi sebagai pemberian semata-mata, sebaliknya sebagai insentif yang praktikal dan adil bagi perkhidmatan awam di wilayah ini.

“Mentafsirkan semula BIW sebagai suatu ‘bukan hak’ menjejaskan moral dan gagal mencerminkan realiti sebenar di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Thirunavukarasu berkata, pemulihan semula struktur BIW progresif sebelum ini dianggarkan melibatkan kos sekitar RM4.2 juta setahun, iaitu jumlah yang kecil berbanding kerugian akibat ketidakcekapan dan pembaziran perbelanjaan kerajaan di sektor lain.

Katanya, pada masa sama, terdapat kebimbangan terhadap langkah Singapura yang mengunjurkan keperluan tambahan seramai 15,000 tenaga kerja penjagaan kesihatan menjelang 2030 dan bertindak agresif bagi mencapai sasaran tersebut.

“Dianggarkan kira-kira 30 peratus graduan perubatan Malaysia daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memilih untuk bekerja di negara itu.

“Ini kerana bekerja di sana berupaya mendapatkan gaji lebih baik, laluan kerjaya yang jelas serta sokongan institusi yang kukuh,” katanya.

Menurut Dr. Thirunavukarasu, walaupun doktor tidak boleh dipaksa untuk kekal berkhidmat, Malaysia perlu mewujudkan persekitaran yang mendorong mereka memilih untuk berkhidmat di dalam negara.

Beliau berkata, ia termasuk menganggap tenaga kerja penjagaan kesihatan sebagai aset strategik yang disokong oleh dasar menyeluruh dan pelaburan bersasar.

Katanya, MMA mengakui kekangan dihadapi Kementerian Kesihatan (KKM), memandangkan keputusan dasar berkaitan imbuhan ditentukan oleh agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus mengehadkan kawalan KKM terhadap mekanisme sokongan tenaga kerja kesihatan.

“MMA menggesa kerjasama lebih kukuh antara agensi berkaitan bagi memastikan dasar tenaga kerja mencerminkan realiti perkhidmatan di lapangan, selain fleksibiliti lebih besar dalam melindungi serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.

“Para doktor tidak menuntut layanan istimewa. Mereka hanya menuntut pengiktirafan, keadilan dan keupayaan untuk berkhidmat dengan berkesan.

“Jika keperluan ini terus diabaikan, bukan sahaja doktor akan terjejas, malah rakyat yang menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×