Kejiranan bebas kereta di tengah padang pasir Arizona

Kejiranan bebas kereta di tengah padang pasir Arizona

AKTIVITI berbasikal menjadi rutin harian di Culdesac. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN tinggal di sebuah kawasan kejiranan tanpa kelibat kereta dan kesesakan lalu lintas, di mana jalan-jalan sempit dipenuhi cahaya lampu, mural berwarna-warni dan kafe terbuka yang riuh dengan perbualan seperti realiti di Culdesac di Tempe, Arizona.

Kawasan kejiranan moden pertama di Amerika Syarikat (AS) yang dibina sepenuhnya bebas kereta dan kini menjadi tumpuan pelancong serta perancang bandar di seluruh dunia.

Culdesac direka oleh arkitek Daniel Parolek, yang mengambil ilham dari pekan bukit di Itali dan perkampungan pantai di Perancis.

“Tempat-tempat seperti ini wujud sebelum kereta dicipta, jadi reka bentuknya berpusat kepada manusia, bukan kenderaan,” jelasnya.

Abad ke-20 menyaksikan bandar-bandar AS membuat ‘perjanjian pahit’ dengan kereta, membina lebuh raya luas, kawasan parkir dan pinggir bandar yang hambar.

Hasilnya, pencemaran meningkat, kesepian sosial bertambah, dan bandar menjadi lebih panas serta kurang lestari.

Culdesac dianggap berani kerana lokasinya di Tempe, sebahagian daripada metropolitan Phoenix yang terkenal dengan kebergantungan sepenuhnya kepada kereta malah, ramai turut skeptikal ketika kumpulan pertama penduduk berpindah masuk pada 2023.

Tetapi dengan mengekalkan prinsip kaya mobiliti, tanah seluas tujuh hektar di Culdesac menyediakan hampir semua keperluan seperti restoran, kedai, pasar, gimnasium, kolam renang, klinik, hingga kedai serbaneka Korea.

Pengangkutan awam turut menyokong gaya hidup yang lebih menenangkan ini, dengan trem ringan berhenti tepat di pintu masuk, menghubungkannya ke pusat bandar Phoenix dan lapangan terbang.

Teksi robot elektrik Waymo pula ditugaskan membawa penduduk ke lokasi lebih jauh sementara basikal elektrik boleh disewa untuk ke Tasik Tempe atau Taman Botani Gurun.

Kereta elektrik perkongsian juga tersedia untuk disewa dengan kadar hanya AS$5 (RM21) sejam.

Bagi penduduk seperti Sheryl Murdock, berjalan pulang ke apartmennya di Culdesac terasa seperti berada di sebuah pulau Mediterranean.

Murdock, yang kini melanjutkan penyelidikan pasca-doktoral di Universiti Arizona (ASU) berkata, gaya hidup ini lebih mesra alam dan memberi ketenangan luar biasa.

“Deruman enjin dan trafik lenyap, digantikan bunyi gelas beradu, perbualan mesra dan muzik jalanan. Ia seperti berada di Greece.

“Saya lebih selesa dengan konsep bandar 15 minit ini, di mana semuanya ada di sekeliling. Hanya perlu berjalan kaki, tidak perlu memandu kereta untuk menyelesaikan semua perkara,” katanya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beralih daripada kereta kepada berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam boleh mengurangkan pelepasan karbon individu sehingga 3.6 tan setahun.

Apabila kesemua pelan pembinaan kawasan kejiranan Culdesac siap sepenuhnya dengan 760 unit apartment dan 1,000 penduduk, ia dijangka menghalang pelepasan sekitar 3,000 tan gas rumah kaca (GHG) setiap tahun.

Reka bentuknya juga membantu menyejukkan iklim padang pasir Phoenix, yang mencatatkan suhu melebihi 38 darjah Celsius selama 143 hari tahun lalu.

Bangunan bercat putih ala Mykonos memantulkan cahaya matahari, manakala lorong-lorong sempit dipanggil paseo berfungsi seperti corong yang menarik tiupan angin.

Semua apartment turut direka dengan tingkap di sisi bertentangan bagi membolehkan pengudaraan silang secara semula jadi, sekali gus mengurangkan kesan panas bandar.

Selain faktor ekologi, Culdesac membina kehidupan sosial yang lebih akrab dengan sekitar 20 perniagaan kecil beroperasi, daripada restoran Mexico yang pernah dicalonkan anugerah James Beard, studio seramik, kedai basikal dan butik pakaian lestari.

Pasar minggu turut menambah kemeriahan suasana malamnya dengan muzik, hasil kerja tangan buatan penduduk serta pastri unik seperti croissant jagung biru Navajo.

Kejayaan Culdesac kini menarik minat kerajaan tempatan, agensi pengangkutan dan pemaju hartanah di seluruh AS.
“Culdesac membuktikan penduduk AS juga mampu hidup tanpa kereta, walaupun di kawasan seperti Phoenix yang sinonim dengan kebergantungan kepada kenderaan,” kata Pegawai Hubungan

Luar Culdesac, Erin Boyd.

Bagi pelawat, berjalan kaki, berbasikal dan menaiki trem di Culdesac memberi gambaran bagaimana reka bentuk tradisional dan semangat kejiranan mampu membentuk bandar masa depan yang lebih lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN