PETALING JAYA: Perbuatan menyalahi tatacara penggunaan atau pemasangan Jalur Gemilang sama ada disengajakan ataupun tidak, mencerminkan sikap warganegara yang tidak menghormati negaranya sendiri.
Tokoh bahasa dan persuratan negara, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, individu seperti itu tidak layak menikmati kemakmuran serta segala kemudahan yang ada di negara ini kerana Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan maruah negara.
Beliau berkata, ada empat undang-undang negara amat jelas dalam penetapan cara pemasangan dan penggunaan bendera negara.
“Disebut secara jelas kesalahan menggunakan bendera negara untuk tujuan yang mencemarkan imej negara dan cara pemasangan yang salah, termasuk pemasangan terbalik.
“Sesiapa yang menyalahi penggunaan atau cara pemasangan bendera negara, dengan sengaja atau alasan tidak sengaja, ialah warganegara yang tidak menghormati negaranya sendiri dan tidak layak menikmati kemakmuran dan segala kemudahan yang ada di negara ini.
“Sesiapa yang menghina bendera negara mesti didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik yang semakin kerap berlaku menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Awang berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan agar isu itu tidak menjadi bahan memperlekeh lambang kedaulatan negara.
“Isu-isu itu tidak terbatas pada mana-mana kaum, sebaliknya merentas kaum.
“Faktor penguatkuasaan undang-undang pun ada asasnya kerana pihak yang membuat provokasi dengan memasang bendera terbalik atau tidak sempurna tidak disiasat atau didakwa, sebaliknya pihak yang mempertahankan kedaulatan negara dianggap oleh sesetengah pihak sebagai punca provokasi,” katanya.
Baru-baru ini, tular rakaman berdurasi 21 saat memaparkan pemilik sebuah kedai perkakasan berusia 59 tahun mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat.
Tindakan itu mengundang kecaman masyarakat yang mendesak agar hukuman tegas dikenakan memandangkan insiden sebegini dilihat semakin kerap berulang menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Belum reda isu berkenaan, sebuah klinik pergigian di Pontian pula mencetuskan perhatian apabila Jalur Gemilang turut dipasang secara terbalik.
Kejadian yang tular di media sosial itu membawa kepada siasatan pihak berkuasa, malah premis berkenaan diarahkan ditutup selama 30 hari oleh kerajaan negeri sebagai langkah penguatkuasaan segera. – UTUSAN










