PETALING JAYA: Pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pontian bukan isu perkauman, sebaliknya membabitkan soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan,perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Perlu diingat ini bukan soal perkauman. Ia adalah soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme. Semua kaum dan semua pihak perlu berhati-hati bila membabitkan hal-hal yang sensitif terutama pemasangan Jalur Gemilang.
“Insiden pemasangan bendera Malaysia terbalik di bandar Pontian sudah dibaiki. Ia berlaku disebabkan pekerja Klinik Gigi, iaitu seorang wanita yang silap memasang dan dia memaklumkan ia tidak disengajakan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan satu lagi insiden berkenaan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik dikesan di sebuah klinik pergigian swasta di Pontian.
Insiden yang tular menerusi video berdurasi 33 saat memaparkan bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik pergigian itu di mana bendera Malaysia dipasang secara terbalik di tingkat dua.
Bendera terbalik itu dipasang di pintu kaca bersebelahan bendera Johor yang dipasang dengan betul.
Dalam video berkenaan juga memaparkan beberapa anggota polis dan orang awam turut berada di lokasi kejadian.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pihak polis telah mengambil keterangan kakitangan klinik termasuk seorang doktor dan pekerja wanita yang memasang bendera berkenaan.
Katanya, beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuat laporan polis berhubung insiden itu.
“Saya juga sudah bercakap dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Setiausaha Majlis serta berhubung dengan Pegawai Daerah Pontian susulan insiden ini.
“Diharap semua bertenang. Isu ini sedang ditangani dan tentunya pelbagai pihak yang berkuasa serta berkaitan sedang mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Kebijaksanaan bertindak adalah penting supaya perkara yang sama tidak berulang dan terus berulang lagi,” katanya. – UTUSAN










