MUKADIMAH
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kini mula memasuki pusingan kedua. Momentum dan pola pengundian mula menampakkan kecendurangan sokongan kepada parti-parti yang bertanding.
Bagi Barisan Nasional (BN), saingan dalam merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu tugas yang mudah.
Selain berdepan persaingan daripada parti-parti lawan, BN juga perlu berhadapan dengan pelbagai serangan politik dan persepsi yang cuba mempengaruhi sentimen pengundi.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Timbalan Pengerusi BN, Johor, DATUK SERI DR. AHMAD MASLAN bagi mendapatkan perspektif beliau.
UTUSAN: Berdasarkan satu kajian, terdapat lebih kurang 1,303 pengundi berdaftar BN mendahului 36 peratus potensi sokongan berbanding PH. Sejauh mana BN boleh kekalkan momentum sehingga hari pengundian?
AHMAD: Setakat ini hampir 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun saya pergi berkempen. Jadi boleh saya rumuskan bahawa jentera berada dalam keadaan di tahap tertinggi iaitu berada pada gear lima.
Selain itu, penerimaan pengundi kepada BN daripada laporan saya terima setakat ini sangat meyakinkan dan mereka tidak terfikir mahu menukar pemerintahan kepada parti lain. Begitu juga daripada segi kehadiran jentera BN yang nampak agresif berbanding parti-parti lain.
Adakah momentum tersebut boleh dikekalkan sampai pada hari mengundi?
Saya yakin boleh sebab hanya ada dua tempat bermasalah setakat ini iaitu Rengit dan Layang-layang dengan tindak tanduk penyandangnya. Namun apabila saya pergi kedua-dua tempat tersebut, ia menunjukkan bahawa mereka sebenarnya bukanlah tokoh yang digemari.
Sebagai contoh, di Rengit, Datuk Mohd. Puad Zarkashi tidak selalu turun padang ketika jadi penyandang. Begitu juga dengan DUN Layang-Layang apabila penyandangnya Abd. Mutalip Abd. Rahim yang telah pun sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kemudian apabila PRN kali ini, kerusi UMNO di Layang-Layang telah diserah ke MCA dan orang Melayu nampaknya boleh terima pula calon tersebut. Ini bermakna hari ini orang memang nak calon yang betul-betul buat kerja.
Tambahan pula orang mula memahami kenapa Mohd. Puad keluar. Lagipun dia ini dikalahkan Zaidi Japar ketika perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat. Maka diberi Zaidi sebagai calon untuk PRN kali ini sebabkan jawatan dipegang di peringkat bahagian. Maka susun atur dan kaedahnya tepat.
Mohd. Puad bukan lagi Ketua Bahagian dan tiba-tiba mahu lantik anaknya pula sebagai calon?
Ada 31 peratus pengundi atas pagar. Jadi bagaimana BN mahu tarik sokongan mereka setakat ini?
Hampir setiap negeri termasuk di Johor ada satu per tiga pengundi atas pagar. Mereka tidak ketinggalan menerima bantuan yang diberikan BN termasuk Bantuan Kasih Johor.
Dan ada dalam kalangan mereka turut hadir dalam program seperti Semarak Subuh dan program keagamaan lain. Maknanya kita sudah bersedia awal iaitu sebelum pilihan raya lagi.
Jadi kita yakin boleh menang dengan sekurang-kurangnya 45 kerusi DUN kali ini termasuk beberapa kawasan yang dimenangi pembangkang dengan undi tipis dalam PRN 2022. Namun saya enggan terlalu yakin dan kita masih perlu bekerja kuat.
Ada 23 kerusi tidak ditandingi PN. Adakah BN yakin undi tersebut akan pergi kepada BN terutama dengan arahan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini?
Saya sebenarnya lebih fokuskan (gerak kerja) kepada 11 kerusi yang Pas tandingi. Selebihnya itu saya yakin penyokong Pas akan sokong BN dan mereka tidak akan sokong calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perlu diingat, di Malaysia parti yang ada penyokong kuat dan akar umbi hanyalah Pas dan UMNO.
Jadi 56 tolak 11 iaitu 45 kerusi DUN (selain ditandingi Pas) itu sebenarnya ada pengundi yang potensi sokong UMNO dan BN termasuk di kawasan yang ditandingi Bersatu.
Sebab Pas sudah berpecah dengan Bersatu dan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin guna logo PN. Penyokong Pas faham itu Bersatu dan bukannya Pas.
Jadi yang dalam 16 kerusi DUN yang ditandingi Bersatu itu pun, penyokong Pas akan sokong BN atau mungkin mereka tidak keluar mengundi.
Adakah kenyataan Tuan Ibrahim itu tanda awal bahawa BN sedia menjalinkan kerjasama dengan Pas sama ada di peringkat negeri atau Pusat nanti?
Kita akan tengok Johor dan Negeri Sembilan dahulu. Adakah benar penyokong Pas selain di 11 kerusi itu akan sokong BN atau tidak. Kami boleh kira.
Kalau benda itu berlaku maknanya ada keikhlasan. Dan selepas Johor kita lihat Negeri Sembilan. Melihat (membentuk kerjasama) tidak susah.
Sebagai contoh di Benut. Ada 6,000 penyokong tegar Pas. Dapat atau tidak Datuk Mohd. Sumali Reduan jumlah 6,000 ini. Kami tahu pengundi putih kami berapa banyak tapi kalau ada tambahan daripada 6,000 pengundi putih, itu bermakna keikhlasan itu ada.
Kami tahu siapa penyokong Pas undi BN atau tidak. Jadi kita nak lihat data-data ini dulu.
Adakah kenyataan Nga Kor Ming pencetus keretakan hubungan BN-PH?
DAP tidak faham, Datuk Seri Najib Razak tidak diberi keadilan sepenuhnya. Di peringkat Mahkamah Persekutuan, apabila ditukar peguambela dari Peguam Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah kepada Hisyam Teh Poh Teik, mereka tidak diberi masa untuk meneliti ribuan muka surat dokumen pembelaan. Mereka mohon dua bulan tapi tidak dibenarkan. Akhirnya peguambela tidak dapat berhujah di peringkat tertinggi di Mahkamah Persekutuan dan selepas itu Najib dijatuhkan hukuman. Pada pandangan orang ramai sekarang Najib tidak mendapat pembelaan.
Maka, kalau Kor Ming mahu letak jawatan disebabkan Najib silakan. Ada beratus boleh ganti. Sama ada Najib boleh bebas atau tidak, itu terpulang pada Jawatan Kuasa Pengampunan Diraja. Saya kesal dengan kenyataan itu dan Kor Ming tidak memahami suasana politik semasa dan perasaan orang UMNO terhadap Najib yang banyak berjasa. – UTUSAN










