Semua isu boleh diselesai melalui rundingan

Semua isu boleh diselesai melalui rundingan

AHMAD Zahid Hamidi (duduk, empat dari kanan) sewaktu sesi sidang media bersempena Program Malaysia #QuranHour 2025, di Masjid Negara, di sini hari ini. - UTUSAN/HANAFI ZULKEFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia percaya semua masalah antara negara serantau termasuk ketegangan di Indonesia boleh diselesaikan melalui meja perundingan tanpa perlu demonstrasi besar-besaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sentiasa berpegang pada prinsip diplomasi dan tidak akan mencampuri urusan dalaman negara jiran.

Menurut beliau, hubungan erat dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi ruang untuk perbincangan terbuka dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang dianggap kecil mahupun besar.

“Pendekatan damai itu akan memastikan kestabilan politik dan ekonomi serantau terus terpelihara serta tidak menjejaskan keharmonian rakyat di kedua-dua negara,” katanya ketika selepas majlis Malaysia #QuranHour 2025 bertempat di Masjid Negara hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, ribuan pekerja mengadakan demonstrasi di seluruh Indonesia pada Khamis, termasuk di Jakarta dan bandar utama lain, bagi menuntut kebajikan lebih baik, penamatan sistem kontrak khidmat luar serta pemberhentian besar-besaran, selain pembaharuan dasar buruh, di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat dilaksanakan di kompleks parlimen di ibu negara.

Ia merupakan bantahan kedua di Dewan Perwakilan Rakyat minggu ini, selepas ratusan pekerja berarak pada 25 Ogos untuk mengecam gaji dan elaun tinggi ahli parlimen ketika rakyat berdepan kesempitan ekonomi.

Dalam pada itu, Ahmad  Zahid turut mengingatkan rakyat Malaysia agar terus mengekalkan keamanan serta mengelak daripada terjebak dengan sebarang provokasi yang boleh menggugat perpaduan.

Menyentuh tema Hari Kebangsaan ke-68,  beliau berkata, sambutan itu harus diraikan bersama tanpa mengira perbezaan politik, agama, bangsa atau budaya.

“Hari Malaysia juga menjadi simbol penyatuan seluruh rakyat termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam membina sebuah negara bangsa yang kuat dan berdaulat,” katanya.

Ahmad Zahid menekankan pentingnya konsep wahdatul fikr (penyatuan pemikiran), wahdatul qulub (penyatuan hati) dan wahdatul amal (penyatuan tindakan) dalam memupuk semangat Malaysia Madani.

“Saya menyeru seluruh rakyat mengetepikan perbezaan demi menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan penuh kesyukuran serta semangat kebersamaan sebagai bangsa Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN