Dua sahabat baik meninggal dunia, Dinie Rashid alami kemurungan - Utusan Malaysia

Dua sahabat baik meninggal dunia, Dinie Rashid alami kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setelah lima tahun menyepi, penyanyi, Dinie Rashid mendedahkan dirinya mengalami kemurungan selepas kehilangan dua sahabat baiknya dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Menurut Dinie atau Muhammad Dinie Abdul Rashid, pemergian dua sahabat rapat yang banyak mempengaruhi kejayaan perjalanan seninya itu membuatkan dirinya trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

“Sebenarnya, saya pernah mengalami kemurungan dan mendapatkan bantuan pakar. Pada mulanya, saya berjumpa dengan ahli terapi sebelum mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada 2022, rakan serumah yang juga sahabat baik saya meninggal dunia akibat serangan jantung. Dia merupakan individu yang banyak menyokong perjalanan seni saya dan turut bekerja dalam bidang media.

“Kira-kira setahun selepas itu, seorang lagi sahabat baik saya yang dikenali sejak kecil turut meninggal dunia kerana mengalami Hepatitis B. Lebih menyedihkan, kedua-duanya meninggal dunia di rumah yang sama di pangkuan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, bekas peserta Big Stage itu menyifatkan kedua-dua sahabat berkenaan memainkan peranan penting dalam kehidupannya, terutama membantu menguruskan urusan harian berikutan masalah penglihatan yang dialami.

“Penglihatan saya hanya sekitar 20 hingga 30 peratus. Jadi, saya tidak boleh memandu dan ada beberapa perkara yang memerlukan bantuan orang lain.

“Bukan bermaksud saya bergantung sepenuhnya kepada mereka, tetapi kedua-dua sahabat itu memang banyak membantu saya.

“Bayangkan, dua orang yang sangat rapat dengan saya pergi seorang demi seorang. Disebabkan itu, saya benar-benar jatuh dan mengalami kemurungan,” jelasnya.

Akibat kemurungan tersebut, Dinie mengakui pernah mengasingkan diri daripada kehidupan sosial dan lebih selesa menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik selama hampir dua tahun.

“Saya tidaklah sampai mencederakan diri sendiri, tetapi saya lebih suka duduk bersendirian di dalam bilik. Selepas kehilangan rakan serumah, saya tinggal seorang diri.

“Saya hanya duduk di dalam bilik dan tidak keluar. Keadaan itu berlarutan sekitar satu hingga dua tahun. Malah, saya yang sebelum ini sudah biasa membuat persembahan di atas pentas tiba-tiba menjadi takut untuk kembali menyanyi,” kongsinya.

Bagaimanapun, Dinie bersyukur kerana keadaan emosinya semakin baik selepas mendapatkan bantuan profesional selain menerima sokongan berterusan daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Alhamdulillah, selepas berjumpa dengan pakar, mereka menjelaskan bahawa saya mengalami kesedihan yang sangat mendalam. Pakar menasihatkan saya supaya kembali berjumpa orang dan melakukan perkara yang pernah saya suka.

“Bayangkan, sebelum ini bukan sahaja saya tidak membuat persembahan, malah di rumah pun saya tidak menyanyi. Jadi, sekarang saya mula menyanyi semula. Saya juga cuba bersenam dan melakukan aktiviti yang boleh membantu mengurangkan kesedihan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dinie kini kembali aktif dalam industri muzik selepas hampir lima tahun menyepi menerusi single terbaharu, Jangan Mati Di Sini yang merupakan runut bunyi filem Takdir Terakhir, The Last Dive yang bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini