PETALING JAYA: Skuad kuadran negara ke separuh akhir acara kuadran lelaki Piala Raja Thai 2025 selepas mencatat kemenangan bermakna ke atas Korea Selatan 2-1 dalam aksi ketiga Kumpulan B yang berlangsung di Central Hatyai, sebentar tadi.
Barisan negara yang diketuai Aidil Aiman Azwawi bersama Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Shahalril Aiman Halim memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila mudah menutup set pertama dengan kemenangan 15-10.
Bagaimanapun, Korea Selatan bangkit pada set kedua dengan aksi lebih kemas dan teratur, sekali gus menyaksikan mereka berjaya menyamakan kedudukan selepas menundukkan Malaysia 15-10 untuk memaksa set penentuan.
Tidak mahu mengulangi kesilapan sama, skuad kendalian Zulkarnain Mohd Ariff tampil lebih agresif di set ketiga dan menampilkan disiplin permainan tinggi sebelum menoktahkan kemenangan 15-10.
Kejayaan itu menyaksikan skuad negara kini mengesahkan tempat ke separuh akhir, meskipun masih berbaki satu perlawanan menentang Singapura dalam saingan peringkat kumpulan.-UTUSAN










