'Siapa angkat tangan terhadap Israel, tangannya akan dipotong'

‘Siapa angkat tangan terhadap Israel, tangannya akan dipotong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Lebih lima bulan mengunci mulut, Israel akhirnya mengaku menjadi dalang di sebalik pembunuhan tragis Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, di Teheran, Julai lalu. 

Pengakuan terbuka itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Israel Katz yang malah memberi amaran terhadap kepemimpinan pemberontak Houthi di Yaman yang akan menerima nasib sama.

“Kami akan melancarkan serangan hebat ke atas Houthi dan kepemimpinan mereka, seperti yang kami lakukan terhadap Haniyeh, Yahya Sinwar dan Hassan Nasrallah di Teheran, Gaza, dan Lubnan. 

“Perkara sama akan dilakukan di Hodeida dan Sanaa,” kata Katz dalam satu acara di Kementerian Pertahanan.

Kenyataan tersebut merupakan pengakuan pertama Israel secara terbuka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Haniyeh pada hujung Julai lalu, di ibu negara Iran.

“Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel, tangannya akan dipotong, dan ‘lengan panjang’ IDF (tentera Israel) akan menyerangnya serta membawanya ke muka pengadilan,” kata Katz. 

Sebelum ini, Israel tidak pernah mengaku bertanggungjawab atas kematian Haniyeh, namun Iran dan Hamas menyalahkan Israel atas pembunuhan pemimpin politik Hamas itu.

Haniyeh, yang dilihat sebagai perantara utama usaha rundingan gencatan senjata di Gaza, terbunuh pada 31 Julai lalu, dalam sebuah rumah tetamu di Teheran, dipercayai akibat bahan letupan yang dipasang oleh operatif Israel beberapa minggu sebelumnya.

Sehari sebelum insiden itu, Haniyeh menghadiri majlis perasmian pelantikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Pada 27 September pula, Israel membunuh Hassan Nasrallah dalam satu pengeboman di Beirut, diikuti dengan pembunuhan pengganti Haniyeh, Yahya Sinwar, pada 16 Oktober di Gaza.

Israel mendakwa Sinwar merupakan dalang utama serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan perang berterusan di Semenanjung Gaza.

MASIH BERUNDING 

Sementara itu, rundingan untuk membebaskan tebusan di Gaza menunjukkan ‘sedikit kemajuan’, meskipun perang sudah berlanjutan lebih 14 bulan, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. 

 Kenyataan itu dibuat di Parlimen dua hari selepas pejuang Palestin turut memaklumkan mengenai perkembangan ke arah gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.

“Segala yang kami lakukan tidak dapat didedahkan. Kami sedang mengambil tindakan untuk membawa pulang mereka.

“Saya ingin menyatakan dengan berhati-hati terdapat sedikit kemajuan dan kami tidak akan berhenti bertindak sehingga mereka semua dibawa pulang,” kata Netanyahu. 

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas, yang dibantu oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) berlangsung di Doha, membawa harapan baharu untuk mencapai perjanjian yang sekian lama sukar dicapai.

Keluarga tebusan mempersoalkan keikhlasan usaha rundingan kerajaan, bahkan pengkritik juga menuduh Netanyahu sengaja menangguh perbincangan gencatan senjata dan memanjangkan perang demi kepentingan sekutu sayap kanan.

Sabtu lalu, pejuang Hamas, Jihad Islam dan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin memaklumkan terdapat kemajuan dicapai dalam rundingan.

“Kemungkinan mencapai persetujuan (untuk gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan) lebih dekat berbanding sebelum ini, dengan syarat musuh berhenti mengenakan syarat baharu,” katanya selepas rundingan di Kaherah.

Sejak serangan 7 Oktober 2023, kira-kira 251 rakyat Israel ditahan, dengan 96 daripadanya masih menjadi tebusan di Gaza dan 34 lagi diisytiharkan mati oleh tentera.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN