KANGAR: Pas tidak tahu dakwaan ada usaha untuk menarik UMNO dan Barisan Nasional (BN) keluar Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kalau dilihat daripada situasi semasa negara, adalah baik jika UMNO keluar kerajaan seterusnya bersama Bersatu demi perpaduan Melayu dan Islam.
Katanya, keadaan semasa sememangnya memerlukan orang Islam atau parti-parti Melayu Islam sama ada Pas atau UMNO ini Bersatu.
“Kalau dilihat suasana sekarang, orang Melayu Islam perlu Bersatu kerana secara halus musuh-musuh Islam ini sedang merancang dan bergerak. Sama ada Pas atau UMNO, kita kena sedar dengan ancaman musuh Islam.
“Usaha menarik BN keluar kerajaan itu, saya tidak tahu dan pertemuan secara rasmi itu tidak ada. Tidak tahulah mungkin jika ada individu-individu berbincang ke arah perpaduan ini.
“Kalau kita lihat akar umbi UMNO juga sebenarnya mahu ke arah perpaduan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada usaha memujuk BN untuk keluar Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri.
Pengerusi BN itu mendedahkan, wujud usaha baharu oleh pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mendedahkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang bertemu dengan beliau minggu lalu untuk membentuk jajaran baharu Kerajaan Perpaduan dengan mereka juga meminta empat jawatan menteri jika perkara tersebut dapat direalisasi.
Tambah Hashim, perpaduan sememangnya diseru dalam Islam dan Pas sentiasa terbuka mengenai kerjasama tersebut.
“Sama ada Pas atau UMNO juga perlu sedar siapa musuh sebenar dan jangan terlalu baik sangka terhadap musuh. Kena kenal siapa musuh dan siapa kawan. Dalam suasana ini, apabila Islam dihina, kita wajib bersatu,” katanya. – UTUSAN










