Pemain Kedah mula jalani latihan

Pemain Kedah mula jalani latihan

NAFUZI Zain (tiga dari kiri) bercakap dengan barisan pemain KDA FC yang turun menjalani sesi latihan di Stadium Darul Aman, semalam.-IHSAN SANG KENARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah lebih dua minggu tidak turun berlatih sejak perlawanan terakhir mereka menentang Sri Pahang FC pada 20 September lalu, para pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya kembali ke padang latihan, petang semalam.

Tinjauan dilakukan di Stadium Darul Aman yang menjadi venue latihan Sang Kenari bagaimanapun menyaksikan hanya 14 pemain turun menjalani sesi latihan itu termasuk kesemua lima pemain import.

Keadaan itu menyebabkan sesi latihan penuh tidak dapat diadakan selain faktor hujan lebat serta ribut yang melanda bandar raya ini sejak tengah hari yang turut membuatkan sesi latihan terpaksa dipendekkan untuk tempoh hanya kira-kira sejam.

Barisan kejurulatihan yang didekati pemberita pula enggan memberikan komen mengenai situasi pasukan ketika ini, namun difahamkan sehingga semalam, tunggakan gaji para pemain masih belum dilunaskan untuk tempoh tujuh bulan.

Sementara itu, sumber dalaman pasukan memaklumkan, tindakan sebahagian pemain kembali ke padang latihan adalah untuk menjaga tahap kecergasan mereka menjelang perlawanan menentang Terengganu FC, 19 Oktober depan.

“Rata-rata pemain masih bersikap profesional turun berlatih meskipun gaji tertunggak untuk tempoh tujuh bulan. Kalau diikutkan, keadaannya memang sukar kerana bank setiap hari telefon dengan ada juga yang kereta sudah ditarik dan telah beberapa kali diberi amaran oleh empunya rumah sewa.

“Setakat ini masih belum ada kepastian sama ada pemain-pemain skuad utama ini akan bermain dalam perlawanan menentang Terengganu FC nanti. Kita tengok sajalah keadaannya dua atau tiga hari lagi kerana mungkin juga lebih ramai pemain akan turun selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati sesi latihan tersebut turut disertai oleh penjaga gol Sang Kenari yang dipinjamkan kepada Sri Pahang FC sebelum ini, Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.

Difahamkan, KDA FC mengambil keputusan untuk memanggil semula pemain itu setelah mereka kehilangan penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz yang berhijrah ke Selangor serta Fikri Che Soh yang kembali ke Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sewaktu jendela perpindahan kedua, baru-baru ini.

Segala prosedur untuk memanggil semula Wan Mohd. Syazmin telah dilengkapkan sebelum jendela perpindahan kedua ditutup 22 September lalu dengan pemain itu kini boleh diharap untuk menjadi penjaga gol kedua pasukan selepas Ifwat Akmal Chek Kassim.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya