NAIROBI: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan lebih 79 juta wanita dan gadis di seluruh sub-Sahara Afrika menjadi mangsa rogol dan serangan seksual semasa zaman kanak-kanak mereka.
Data baharu yang direkodkan oleh UNICEF menunjukkan rantau itu adalah antara tempat paling teruk di dunia untuk membesar sebagai seorang gadis.
Di peringkat global, UNICEF menganggarkan keganasan ksual telah menjejaskan kira-kira 370 juta kanak-kanak perempuan dan wanita, dengan satu daripada lima orang di sub-Sahara mengalami serangan seksual atau dirogol sebelum mencecah umur 18 tahun.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell berkata, angka itu dikira menggunakan data nasional dan program tinjauan antarabangsa dari 2010 hingga 2022.
Jumlah kes paling tinggi direkodkan di kawasan yang dilanda konflik dan ketidakamanan.
Agensi bantuan di Sudan memberi amaran tentang risiko kepada wanita dan gadis mengenai konflik yang berterusan.
“Kanak-kanak berada dalam persekitaran rapuh yang sangat terdedah kepada keganasan seksual.
“Kami menyaksikan keganasan seksual yang mengerikan di zon konflik, dengan rogol dan keganasan berasaskan jantina sering digunakan sebagai senjata perang,” kata Russell.
Pakar Keganasan Kanak-Kanak Serantau yang berpangkalan di Nairobi, Nankali Maksud berkata, ia adalah pendedahan yang menakutkan serta melahirkan generasi trauma.
Katanya, trauma yang terhasil mempunyai akibat yang meluas untuk pembangunan.
“Kami meletakkan banyak usaha untuk mendorong anak gadis ke sekolah, tetapi seorang gadis yang dirogol atau melalui serangan seksual sudah tentu tidak dapat fokus dengan pembelajaran,” katanya. -AFP











