KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan membenarkan pelarian berdaftar mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengambilan pekerja asing.
Cadangan itu melibatkan penelitian data kira-kira 225,000 pelarian berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mengenal pasti mereka dalam lingkungan umur produktif yang melepasi proses tapisan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan boleh meneliti data berkenaan, khususnya pelarian berusia antara 20 hingga 30 tahun, bagi menilai potensi mereka memenuhi keperluan tenaga kerja negara.
Katanya, langkah itu juga boleh menjadi pilihan selain mengambil pekerja dari luar negara, sekali gus membantu mengurangkan kos pengambilan pekerja asing.
“Di satu sisi lain, kita ada 225,000 yang UNHCR kata berstatus pelarian. Depan mata kita. Jadi, idea besar ini, idea besar, belum jalan lagi.
“Kalaulah kita boleh kumpulkan data 225,000 orang ini, kemudian kita pisahkan yang mempunyai julat umur yang masih produktif, umur iaitu 20, 25, 30, masih produktif yang telah kita tapis, kita ada datanya.
“Jadi, hasrat kita adalah keperluan tenaga kerja, tidak semestinya kita ambil daripada luar.
“Saya bagi contoh, katalah Pasir Gudang ada ladang sawit, perlukan 100 pekerja, ada dua pilihan. Nak ambil daripada Bangladesh dan bayar segala macam kos, ataupun semak dengan data pendaftaran pelarian kami yang memang dah ada umpamanya.
“Itu keputusan yang akan kita buat. Buat masa ini saya tidak menolak kemungkinan laluannya ke situ bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang real di hadapan kita,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang membenarkan pelarian Rohingya yang berdaftar di bawah Program Dokumentasi Pelarian (DPP) bekerja dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar), khususnya ketika negara berdepan kekurangan tenaga kerja asing.
Utusan Malaysia pada 20 Ogos lalu melaporkan, kerajaan diminta memberikan hak bekerja kepada pelarian dan pencari suaka di negara ini kerana langkah itu dapat membantu menangani pelbagai masalah sosial membabitkan golongan berkenaan.
Selain menyelesaikan isu kekurangan pekerja, langkah itu juga berpotensi memberi nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar RM3 bilion.
Pemberian hak bekerja kepada golongan berkenaan turut dapat mengurangkan aliran keluar wang negara melalui kiriman wang pekerja asing.
Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan aliran keluar sebanyak RM32.6 bilion, manakala anggaran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), termasuk melalui saluran tidak rasmi, mencecah sekitar RM70 bilion.
Saifuddin berkata, keperluan pekerja asing ketika ini tertumpu kepada lima sektor ekonomi, iaitu pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan memberi kesan kepada kegiatan ekonomi, khususnya bagi pekerjaan seperti mengait buah kelapa sawit dan menyusun bata.
“Ada lima sektor ekonomi yang memerlukan pekerja. Kementerian Ekonomi meletakkan siling, pekerja asing boleh dibawa masuk.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, jumlahnya tidak boleh melampaui 10 peratus daripada guna tenaga. Guna tenaga kita 17 juta, sepanjang RMK-13, 1.7 juta adalah siling bagi lima sektor ekonomi iaitu pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan juga perkhidmatan.
“Dan lima sektor ekonomi ini kalau tak ada pekerja asing, maka ia memberi kesan kepada ekonomi kita. Maksudnya tak ada orang yang nak pergi kait sawit, nak susun bata, itu realitinya.
“Setiap tahun KDN antara agensi kawal selia yang turut terlibat dalam memutuskan status kelulusan pekerja asing dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN











