1,000 penduduk melarikan diri akibat kebakaran hutan - Utusan Malaysia

1,000 penduduk melarikan diri akibat kebakaran hutan

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran hutan di Kampung Sungai Rambutan, Sumatera. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran hutan di Pulau Sumatera, Indonesia, memusnahkan hampir 300 rumah dan memaksa ratusan penduduk berpindah, kata seorang pegawai pada Selasa, ketika negara itu berdepan kebakaran besar serta jerebu.

Penduduk mula menyedari kebakaran menghampiri kampung mereka di wilayah Bangka Belitung pada Sabtu dan cuba memadamkannya sendiri menggunakan pam air mudah alih, kata Datuk Bandar, Riza Herdavid kepada pemberita.

“Mereka menyangka kebakaran itu sudah berjaya dipadamkan. Namun, kawasan itu merupakan tanah gambut dan masih terdapat api yang membara di bawah permukaan tanah. Jadi, ketika mereka menganggap kebakaran sudah berakhir, arah angin berubah lalu menyebabkan api merebak dengan pantas ke arah penempatan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Agensi bencana tempatan berkata, hampir 1,000 penduduk melarikan diri dari kampung berkenaan.

“Rumah saya sudah musnah,” kata Leni, 55, seorang penduduk kampung yang kini berlindung di pusat pemindahan bersama keluarganya kepada AFP.

“Tiada apa-apa lagi yang tinggal. Saya hanya sempat menyelamatkan diri dan membawa anak-anak bersama..

“Saya panik dan tidak sempat mengambil apa-apa,” kata Leni yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya mempunyai satu nama.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Haryanti berkata, angin kencang menyebabkan api marak dan memusnahkan rumah yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu.

“Saya terus melarikan diri untuk menyelamatkan diri. Tiada satu pun barang saya yang dapat diselamatkan. Hanya pakaian yang melekat di badan,” kata suri rumah berusia 50 tahun itu kepada AFP.

Riza berkata, kampung berkenaan dibina di kawasan yang dahulunya merupakan tanah gambut dalam kawasan perlindungan, sebelum ia dibangunkan menjadi kompleks perumahan pada tahun lalu.

Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kemarau.

Namun, kebakaran tahun ini lebih dahsyat daripada kebiasaan berikutan fenomena cuaca El Nino yang menyebabkan kemarau. 

Fenomena itu dijangka menjadi antara yang paling kuat sejak rekod perbandingan mula dibuat empat dekad lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini