Ibu bapa desak sekolah pasang pendingin hawa

Ibu bapa desak sekolah pasang pendingin hawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pergolakan tercetus dalam media sosial China berhubung penggunaan pendingin hawa dalam bilik darjah ketika negara tembok besar itu menghadapi gelombang haba tidak mengikut musim.

Penduduk di beberapa bandar paling panas China mendesak pihak sekolah untuk memasang pendingin hawa kerana suhu mencecah lebih 35 darjah Celsius.

Perdebatan semakin memuncak di bandar selatan Changsha apabila jabatan pendidikan berkata, pihaknya tidak akan memasang pendingin hawa bagi membolehkan pelajar memupuk semangat bekerja keras dan daya tahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan dan mencetuskan perdebatan mengenai siapa yang sepatutnya menanggung kos pemasangan pendingin hawa serta sama ada ia perlu digunakan atau sebaliknya. 

Kebanyakan bilik darjah di China tidak mempunyai pendingin hawa dan hanya bergantung kepada kipas siling, namun desakan untuk memasang pendingin hawa semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Tanpa pendingin hawa, sukar untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran,” kata Lin Yujun, bapa kepada seorang pelajar sekolah menengah di Guangdong, kepada laman berita berpusat di Shanghai, Sixth Tone.

Walau bagaimanapun, tidak semua ibu bapa menyokong pemasangan pendingin hawa kerana dibimbangi anak-anak mereka akan terdedah kepada risiko tinggi seperti selesema atau jangkitan lain di sekolah. 

Malah, ada ibu bapa yang mencadangkan supaya kalendar persekolahan diubah. 

Awal tahun ini, biro cuaca China memberi amaran mengenai gelombang haba yang lebih panas dan lebih lama, dengan menambah suhu maksimum di seluruh negara boleh meningkat sehingga 2.8 darjah Celsius dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Sesetengah sekolah cuba mengatasi suhu panas tanpa bantuan pendingin hawa dengan meletakkan baldi berisi ketulan ais besar di dalam bilik darjah bagi menyejukkan ruang tersebut.

Beberapa sekolah di wilayah timur seperti Jiangxi dan wilayah barat daya Sichuan telah menangguhkan permulaan semester musim luruh selama seminggu yang sepatutnya bermula 2 September lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini