Reka bentuk Proton Saga diiktiraf antarabangsa

Reka bentuk Proton Saga diiktiraf antarabangsa

AZLAN Othman menunjukkan Anugerah Reka Bentuk Perindustrian Golden Osmanthus bagi Pengangkutan Pintar merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Proton Saga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Saga baharu meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi Anugerah Produk dalam kategori Pengangkutan Pintar (Smart Transportation) di 2026 Golden Osmanthus Industrial Design Award (GODA), sekali gus memperkukuh daya saing model itu dalam segmen sedan A di Malaysia.

Pengiktirafan berkenaan diterima menerusi Trek Permohonan ASEAN dalam pertandingan reka bentuk perindustrian yang berlangsung di Nanning, Guangxi, China.

Anugerah itu mengiktiraf reka bentuk produk berdasarkan tahap relevan, kebolehgunaan dan potensinya memenuhi keperluan pasaran serantau, termasuk aspek iklim, tingkah laku pengguna serta amalan budaya di ASEAN.

Memuatkan artikel berkaitan…

Proton berkata, pencapaian berkenaan mengukuhkan kedudukan Saga sebagai model yang bukan sahaja menawarkan reka bentuk tersendiri, malah dibangunkan dengan mengambil kira keperluan pengguna di Malaysia dan pasaran serantau.

Dalam sesi penjurian secara langsung, Ketua Reka Bentuk Lanjutan Proton, Norhelmey Lobb Saad Lobb, membentangkan ciri reka bentuk Saga kepada panel penilai antarabangsa dengan mengetengahkan falsafah reka bentuk, kelebihan nilai serta kesesuaiannya dengan pasaran sasaran.

Model berkenaan turut bersaing dengan penyertaan automotif serantau daripada pengeluar seperti Wuling dan Dongfeng.

Selain reka bentuk, panel penilai meneliti potensi model itu dalam pasaran pemanduan sebelah kiri serta keupayaannya mengekalkan daya saing dalam industri automotif yang semakin beralih ke arah elektrifikasi.

Trek Permohonan ASEAN memberi penekanan kepada reka bentuk yang disesuaikan dengan keadaan dan permintaan pasaran tempatan, selain menilai kebolehlaksanaan produk serta potensi pengkomersialannya.

Penilaian itu menjadikan pengiktirafan berkenaan signifikan kepada Saga kerana model tersebut dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna Malaysia, di samping berpotensi menarik minat pelanggan di pasaran lain.

Ketua Pereka Proton Design, Azlan Othman berkata, pengiktirafan itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah Proton Saga sebagai kereta nasional pertama Malaysia.

“Anugerah Golden Osmanthus Industrial Design bagi kategori Pengangkutan Pintar merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah panjang Proton Saga, kenderaan nasional pertama Malaysia.

“Selama ini, Proton Design telah terus memperhalusi perincian reka bentuknya sambil mengekalkan semangat asal model tersebut.

“Apabila digabungkan dengan penambahbaikan dari segi teknologi dan keselamatan, usaha ini memastikan Saga kekal relevan dan menjadi pilihan yang amat popular dalam kalangan pelanggan Proton,” katanya dalam kenyataan.

Pencapaian itu turut mencerminkan usaha berterusan pasukan reka bentuk dan pembangunan Proton dalam mengekalkan identiti Saga, sambil mempertingkatkan ciri serta teknologi bagi memenuhi jangkaan pengguna.

Pelanggan yang berminat melihat sendiri model berkenaan boleh mengunjungi bilik pameran Proton yang sah di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mengatur sesi pandu uji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini