PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu Proton Saga yang tular memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung video tular itu kira-kira pukul 11.38 pagi.
Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian dipercayai berlaku 9.44 pagi melibatkan laluan dari persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Sepadu hingga ke persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Kuchai Lama dengan anggaran jarak kira-kira 500 meter.
“Semakan melalui sistem aduan setakat ini mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, pihak JSPT Kuala Lumpur telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan usaha mengesan pemandu dan kenderaan terlibat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat menunjukkan sebuah Proton Sogo berwarna putih dikesan memandu secara lawan arus yang dirakam seorang pengguna media sosial. – UTUSAN









