Warga China pandu lawan arus dipenjara sehari, denda RM10,000

Warga China pandu lawan arus dipenjara sehari, denda RM10,000

LU Xun ketika dibawa ke Mahkamah Majistret untuk proses pendakwaan kerana memandu melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan di Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pemilik kilang pengeluaran plastik dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memandu kereta melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan, Ahad lalu.

Tertuduh, Lu Xun, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Muhammad Syaiful turut menetapkan agar tertuduh hilang kelayakan memandu selama dua tahun dan berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dengan memasuki laluan bertentangan dan telah melanggar sebuah kenderaan lain.

Tertuduh yang telah lebih 30 tahun menetap di negara ini didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam kejadian pada pukul 9.20 malam, 26 April lalu di Jalan Lencongan Barat, di sini.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Mohd Noor, manakala tertuduh diwakili peguam Chong Seng Ming.

Dalam rayuan, Seng Ming memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang rendah berikutan tertuduh telah mengaku salah dan memohon maaf kepada mahkamah, polis serta pemilik kenderaan terlibat dalam kemalangan.

Katanya, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, namun tertuduh berjanji menanggung segala kos membaiki kenderaan mereka sepenuhnya.

Bagaimanapun, Nur Hazwani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakan tertuduh memandu melawan arus membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang lelaki China memandu kereta jenis Perodua Myvi melawan arus sejauh kira-kira 500 meter sebelum bertembung sebuah kereta Proton Saga BLM dipandu lelaki tempatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tertuduh dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN