Najib gagal gantung hukuman, denda kes 1MDB

Najib gagal gantung hukuman, denda kes 1MDB

NAJIB Tun Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sesi pendengaran permohononan bagi menggantung pelaksanan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB, semalam- UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion atas kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu difailkan oleh Najib, 73, sementara menunggu rayuan berhubung sa­bitan dan hukuman berkenaan didengar serta diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan berkenaan tidak mempunyai merit selain gagal memenuhi keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan yang demikian, mahkamah mendapati bahawa ujian keadaan khas telah gagal dipenuhi oleh pemohon. Oleh itu saya mendapati tidak ada merit dalam permohonan ini dan ia dengan sendirinya ditolak,” katanya semalam.

Selain itu, Hakim Noor Ruwena menolak isu kesihatan yang dibangkitkan pihak pembelaan sebagai alasan bagi mewajarkan penangguhan hukuman tersebut memandangkan bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan baik dan dijaga dengan rapi selain laporan perubatan yang dikemukakan tidak memenuhi elemen keadaan khas.

Hakim itu turut menyentuh hujahan pembelaan mengenai denda RM13.47 bilion merangkumi denda kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang disifatkan sebagai jumlah tertinggi pernah dicatatkan.

Katanya, jumlah denda besar yang dikenakan juga tidak membentuk suatu keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman.

“Denda hanya perlu dibayar sekiranya sabitan tersebut dikekalkan. Justeru, tiada paksaan untuk membayarnya sekarang. Sekiranya pemohon tidak mampu membayar denda tersebut, ia akan menambah tempoh pemenjaraan yang perlu dijalankan.

“Malah jika saya membenarkan penggantungan ke atas pembayaran denda sekalipun, ini tidak mengubah dapatan saya berhubung keadaan khas yang perlu diatasi oleh pemohon,” katanya.

Pada 26 Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB.

Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara Najib boleh ditambah 10 tahun lagi bagi setiap pertuduhan itu.

Hukuman penjara itu juga diperintahkan berjalan sebaik sahaja tamat tempoh pemenjaraan bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang dijangka akan tamat pada Ogos 2028, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Kegagalan membayar denda itu menyebabkan hukuman penjara bagi kesalahan membabitkan SRC dilanjutkan sehingga ke Ogos 2029.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini