KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti mekanisme penyaluran bantuan bersasar kepada petani yang mengalami kerugian akibat kelewatan bekalan baja.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penelitian akan dibuat berdasarkan kes bagi mengenal pasti petani yang benar-benar mengalami kemerosotan hasil sebelum bantuan dipertimbangkan.
Katanya, kementerian turut meneliti ketersediaan peruntukan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan yang terjejas.
“Soal kerugian tani itu kita akan kaji dan kita akan bincang lagi supaya kalau ada peruntukan di mana-mana, kita akan pergi dalam bentuk sasaran.
“Bukan semuanya mengalami kemerosotan hasil, tetapi ada beberapa tempat kita akan lihat kes demi kes,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta penjelasan sama ada kementerian bercadang menyediakan insentif kepada petani berpendapatan rendah (B40) yang terjejas susulan kelewatan bekalan baja baru-baru ini.
Mohamad berkata, beliau telah mengambil tindakan susulan selepas menerima maklumat mengenai kelewatan bekalan baja, termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta pegawai berkaitan.
Katanya, beliau turut membawa perkara itu kepada Perdana Menteri sebelum keputusan menghentikan syarikat yang didakwa tidak berupaya membekalkan baja dibuat.
Beliau turut menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu berkenaan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Saya pun dipanggil untuk memberi keterangan di SPRM. Saya gembira bila perkara ini dapat diselesaikan dan mencari jalan yang terbaik untuk kepentingan petani.
“Siapa yang melakukan rasuah atau tidak, bukan kita yang nak menuduhnya, serah kepada pihak yang menyiasat,” katanya.-UTUSAN











