Debat Presiden AS: Antara Trump, Harris, siapa layak menang?

Debat Presiden AS: Antara Trump, Harris, siapa layak menang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sesi perdebatan kali kedua mewakili parti Republikan menyaksikan Donald Trump seperti tidak bersedia untuk berbahas dengan pencabarnya, Kamala Harris. 

Sehingga satu ketika, moderator ABC News membetulkan kenyataan Trump dalam beberapa perkara. 

Antaranya seperti dakwaan palsu mengenai pendatang Haiti dari komuniti Ohio ‘memakan anjing dan kucing’, sesetengah negeri di bawah kepemimpinan Demokrat mahu membenarkan pengguguran selepas mengandung serta mengulangi statistik yang tidak betul tentang kadar jenayah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Semasa tempoh perdebatan, sesekali Harris dilihat ketawa, membulatkan matanya dan merenung tajam ketika Trump menjawab soalan.

Dalam durasi 90 minit perdebatan, Harris bijak menembak emosi Trump dengan serangan peribadi sehingga menyebabkan beliau tidak senang sekaligus menaikkan suhu kemarahan dan meninggikan suaranya. 

Antaranya, Harris mempertikaikan jumlah kehadiran pengunjung ke perhimpunan yang dianjurkan Republikan serta kelakuannya semasa rusuhan Capitol.

Di tengah-tengah perdebatan, apabila Harris menyebut perbicaraan jenayah Trump, lelaki itu sekali lagi membidas panjang berjela dan menuduh pentadbiran Biden dan Harris sengaja menyasarkan dirinya.

Rakan-rakan sekutu bekas Presiden itu dengan pantas menggunakan platform media sosial selepas perdebatan dan mendakwa kononnya Trump dilayan secara tidak adil oleh moderator ABC News. 

Debat yang berlangsung selama satu jam setengah itu membahaskan topik ekonomi, kebenaran menggugurkan anak, perang Russia di Ukraine dan konflik di Gaza. 

Jun lalu, Trump dikatakan menang bagi pusingan pertama Debat Presiden AS menentang lawannya, Joe Biden. 

Beberapa minggu selepas itu, Biden terpaksa menarik diri dan memberi laluan kepada Harris untuk menjadi calon Demokrat. 

ISU GAZA

Ketika pertanyaan mengenai isu Gaza dilayangkan oleh moderator, tiada apa-apa yang boleh diharapkan oleh penduduk dunia terhadap dua sosok ini. 

Harris yang terlebih dahulu menjawab soalan menggelapkan fakta sebenar tentang sejarah panjang Semenanjung Gaza dengan hanya merujuk peristiwa serangan Hamas di sempadan Israel, 7 Oktober lalu. 

Wanita ini menjadikan alasan Israel berhak mempertahankan dirinya daripada serangan Hamas sehingga melabelkan kumpulan pejuang yang mempertahankan tanah air sendiri sebagai entiti pengganas.

Ketika Biden dilihat lemah dengan tuntutan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump cuba berlagak menjadi hero dengan melaungkan dirinya mampu menghentikan perang di wilayah bergolak itu. 

DEBAT KEDUA? 

Trump dan Harris bersemuka buat kali pertama dalam debat yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen menjelang Pilihan Raya AS, November depan. 

Adakah Trump dan Harris akan bertemu untuk sesi perdebatan kali kedua? 

Pengurus Kempen bagi Harris, Jen O’Malley Dion berkata, rakyat sudah boleh menilai dan membuat keputusan selepas perdebatan itu.

“Di bawah cahaya terang, rakyat AS dapat melihat pilihan yang mereka akan hadapi semasa musim gugur ini di peti undi. 

“Antara bergerak ke depan dengan Harris atau mundur bersama Trump.

“Itulah yang mereka sudah lihat dan apa yang patut mereka lihat pada perbahasan kali kedua, Oktober depan. Naib Presiden, Harris bersedia untuk perbahasan kedua. Bagaimana pula dengan Trump?,” soalnya.

Pertemuan kedua, jika Trump bersetuju, akan diadakan pada 1 Oktober depan, antara kedua-dua calon Presiden itu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini