NEW DELHI: Perkhidmatan internet dan data mudah alih digantung selama lima hari serta perintah berkurung tanpa had dikenakan di beberapa kawasan di negeri Manipur, timur laut India. Langkah itu susulan protes pelajar berhubung ketegangan etnik yang berlarutan dan bertukar ganas.
Selepas tempoh bertenang yang singkat, pertempuran antara komuniti majoriti Meitei dan minoriti Kuki meletus semula pada 1 September lalu.
Beberapa serangan melibatkan penggunaan dron untuk menjatuhkan bahan letupan menyebabkan kematian orang awam.
Polis mendakwa, dron itu digunakan oleh kumpulan Kuki, namun ia dinafikan oleh etnik minoriti berkenaan.
Ratusan pelajar Meitei turun ke jalanan untuk membantah serangan dron tersebut, mendesak perubahan dalam kepemimpinan ‘perintah bersatu’ yang menyelia keselamatan negeri.
Protes berlanjutan sehingga kelmarin, memaksa kerajaan tempatan mengenakan perintah berkurung di Lembah Imphal dan daerah sekitar serta menggantung perkhidmatan internet di lima daerah.
Menurut perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan, kolej awam dan swasta di negeri yang bersempadan dengan Myanmar juga akan ditutup pada Rabu dan Khamis.
Pihak berkuasa menutup perkhidmatan internet di Manipur tahun lalu, dalam salah satu gangguan paling lama dilaksanakan di India.
Sekurang-kurangnya 225 orang terkorban dan sekitar 60,000 yang lain dipindahkan sejak pertempuran tercetus tahun lalu antara komuniti Meitei dan Kuki.
Konflik dua etnik itu berpunca daripada pembahagian manfaat ekonomi dan kuota dalam pekerjaan kerajaan serta pendidikan yang diberikan kepada suku Kuki.










