DUSSELDORF: Ukraine menghidupkan peluang mereka untuk mara ke peringkat kalah mati Kejohanan Eropah (Euro) apabila menewaskan Slovakia 2-1 dalam aksi Kumpulan E di Arena Merkur Spiel, Dusseldorf.
Slovakia terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-17 menerusi jaringan Ivan Schranz sebelum Mykola Shaparenko menyamakan kedudukan pada minit ke-54 selepas menyempurnakan hantaran lintang Oleksandr Zinchenko.
Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Slovakia cuba mengatur serangan bagi menembusi gawang Ukraine namun gagal membuahkan hasil.
Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, pemain gantian, Roman Yaremchuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80.
Kemenangan tersebut membolehkan Ukraine menduduki tangga kedua kumpulan berkongsi tiga mata dengan pendahulu, Romania dan Slovakia di tempat ketiga namun dipisahkan dengan perbezaan gol. Belgium di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas ini Romania bertemu Belgium dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E. – AGENSI










