MUNICH: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan pemain sayap, Lamine Yamal sebagai seorang genius apabila membantu skuad La Roja mara ke final Kejohanan Eropah (Euro) 2024 selepas menewaskan Perancis 2-1 dalam aksi separuh akhir.
Pemain berusia 16 tahun itu menyamakan kedudukan selepas Randal Kolo Muani meletakkan Les Bleus di depan sebelum Dani Olmo meledak gol kemenangan Sepanyol.
Yamal dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan malah menjadi pemain termuda menjaringkan gol dalam Euro.
“Kita telah melihat seorang pemain genius beraksi, hasil daripada produk genius.
“Dia pemain yang perlu kami jaga – saya perlu menasihatinya agar terus berusaha keras dan sentiasa bersikap merendahkan diri.
“Dia akan terus berkembang namun kematangan dan sikap yang ditunjukkan pemain muda itu seperti seseorang yang sudah ada banyak pengalaman.
“Kami bertuah kerana dia rakyat Sepanyol dan kami boleh menikmati bakatnya untuk bertahun-tahun lagi,” kata De la Fuente.
Yamal turut menjadi pemain termuda dalam kejohanan apabila mencipta tiga gerakan gol ketika membantu Sepanyol menewaskan Crotia 3-0 di peringkat kumpulan.
De la Fuente enggan memberi pujian kepada keseluruhan pemainnya termasuk Olmo.
“Kita sedang bercakap mengenai Lamine namun saya ada 26 pemain hebat. Saya tahu (Olmo) amat baik dan berpotensi…saya juga bersyukur memiliki dia,” katanya. – AFP










