DUSSELDORF: Jurulatih Albania, Sylvinho menghamburkan pujian terhadap pemainnya walaupun mereka tersingkir daripada Kejohanan Eropah (Euro) 2024 selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Ferran Torres sekali gus menamatkan kempen Albania dalam kejohanan tersebut di tangga tercorot dengan satu mata.
“Saya amat berbangga dengan pemain dan negara. Ini kali kedua kami beraksi di kejohanan ini dan saya telah berkata sebelum ini bahawa saya sangat gembira dengan negara dan persekutuan serta peminat.
“Ramai orang fikir Itali dan Croatia akan menjaringkan empat dan lima gol menentang kami namun pemain saya percaya dengan usaha yang dilakukan.
“Kami berjaya memberi tentangan sengit terhadap tiga pasukan gergasi, pasukan yang pernah bermain di peringkat suku dan separuh akhir,” katanya.
Albania diletakkan dalam kumpulan maut kejohanan turut berjaya mencipta kejutan apabila meledak gol terpantas dalam sejarah Euro ketika tewas 2-1 kepada Itali, 16 Jun lalu. – AFP










