SINGAPURA: Pelakon dan pemenang anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh dan beberapa artis Malaysia yang lain adalah antara yang disekat dan tersenarai dalam Blockout 2024 baru-baru ini.
Hal ini kerana mereka dikatakan berdiam diri mengenai krisis yang sedang berlaku di Gaza selain didakwa memberi sokongan berterusan terhadap jenama yang terikat dengan Israel.
Yeoh, bersama rakan artis lain seperti Anna Jobling dan Neelofa termasuk dalam senarai kira-kira 30 sekatan selebriti dan influencer Malaysia yang disiarkan di Facebook oleh pengguna, Liena Bunkerz pada 13 Mei lalu.
Perkongsian itu memperoleh 6,000 perkongsian setakat semalam.
Senarai sekatan Blockout 2024 berlangsung di mana pengguna media sosial akan memboikot selebriti dan pempengaruh dengan menyekat akaun mereka di platform seperti Instagram, TikTok dan X.
Menurut Associated Press, para peserta berkata, pergerakan itu adalah satu tindakan protes terhadap selebriti yang tidak bersuara berhubiung tindakan Israel di Gaza semasa berperang dengan Hamas.
Dengan menyekat akaun artis dan selebriti, ini bermakna peminat tidak akan melihat sebarang kandungan yang mereka hasilkan dalam media sosial iaitu tiada siaran, tiada foto atau video dan tiada kerjasama dengan penaja.
Sekatan itu juga bertujuan untuk menjejaskan pandangan, penglibatan dan akhirnya pendapatan selebriti kerana bilangan orang yang berinteraksi dengan kandungan mendatangkan wang, lapor AP.
Yeoh dikatakan tidak lantang bersuara mengenai perang, walaupun pada 10 Mac lalu, dia bercakap dengan agensi berita AP menyifatkan protes menggesa gencatan senjata Gaza di sekitar majlis Oscar sebagai membimbangkan.
Pada 3 Mei lalu, beliau menerima Pingat Kehormatan Presiden daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Penghargaan AS diberikan kepada mereka yang telah menyumbang kepada keselamatan dan kehidupan awam AS.
AS dilaporkan menghantar bantuan kepada Israel sepanjang perang di Gaza dengan Reuters melaporkan pada 15 Mei lalu bahawa Jabatan Negara AS sedang memberikan bantuan senjata AS$1 bilion (RM4.7 bilion) untuk Israel sewaktu semakan kongres. -CNA










