PRU15: 'Captain America' pun turun mengundi - Utusan Malaysia

PRU15: ‘Captain America’ pun turun mengundi

KELIBAT 'Captain America' yang turut mengundi di SK Sri Aman, Air Itam, Pulau Pinang pagi ini menarik perhatian orang ramai yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kemunculan seorang lelaki yang memakai kostum watak Captain America di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, di Air Itam di sini menarik perhatian pengundi yang beratur menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Muhamad Shahrizal Mat Sahat, 35, yang tiba kira-kira pukul 10 pagi di pusat mengundi itu turut mempamerkan aksi superhero ketika sedang beratur untuk mengundi.

Muhamad Shahrizal berkata, dia memakai kostum berkenaan pada hari mengundi untuk menghiburkan hati para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan para pengundi yang menunggu giliran.

”Ini pertama kali saya memakai kostum Captain America di pusat mengundi, saya hanya mahu memeriahkan keadaan di sini.

”Saya turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, jadi boleh kita katakan pada orang ramai ‘Captain America’ pun turun mengundi, jadi takkan anda yang layak tidak mahu mengundi hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama rakan-rakan yang dikenali sebagai
kumpulan Adiwira Pulau Pinang sering turun menghiburkan orang ramai dengan kostum pelbagai watak seperti Predator, Black Panther dan banyak lagi.

”Rakan saya yang memakai kostum Predator turut turun mengundi di Dewan Komuniti di Farlim manakala saya mengundi di SK Sri Aman di sini,” katanya.

Tambahnya, dia berasa lega kerana telah dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memilih kerajaan dan pemimpin baharu untuk negara.

”Sebagai pengundi saya berharap kerajaan yang bakal dibentuk nanti akan lebih prihatin kepada rakyat dan membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya