KANGAR: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terus memperkukuh usaha memperkasa sosioekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penganjuran Karnival VETERANiaga di pekarangan Dewan Komuniti, Taman Wai Permai, Kuala Perlis.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia berkenan berangkat mengadakan lawatan ke karnival berkenaan serta beramah mesra dengan para peniaga dalam kalangan veteran tentera.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md. Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuk.
Karnival VETERANiaga menyediakan platform kepada usahawan dalam kalangan veteran ATM dan ahli keluarga mereka untuk memasarkan produk serta perkhidmatan, memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.
Antara pengisian utama karnival ialah gerai jualan dan pameran keusahawanan yang mengetengahkan pelbagai produk, termasuk makanan, minuman, kraf tangan serta perkhidmatan tempatan yang diusahakan oleh veteran ATM.
Penganjuran Karnival VETERANiaga mencerminkan komitmen berterusan PERHEBAT dalam membantu veteran ATM membina kehidupan yang lebih sejahtera dan berdikari selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan, khususnya melalui pembangunan kemahiran dan bidang keusahawanan.
Inisiatif ini juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara veteran ATM, agensi kerajaan dan komuniti setempat, disamping membuka peluang kepada usahawan veteran untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Melalui penganjuran program seumpama ini, kepakaran, pengalaman dan potensi keusahawanan veteran ATM diharap dapat terus diperkasakan bagi menjana pendapatan serta memberikan manfaat berterusan kepada keluarga dan masyarakat.-UTUSAN











