SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) berjaya menumpaskan kegiatan sindiket yang menjalankan aktiviti menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan keseluruhan rampasan bernilai RM215,680 di Jalan Klang Banting, Jenjarom di Kuala Langat, Selangor.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, aktiviti itu terbongkar dalam dua serbuan yang dijalankan di sebuah premis yang disyaki dijadikan stor penyimpanan minyak diesel haram dan sebuah stesen minyak berdekatan pada pukul 2.50 petang, 10 Februari lalu.
Menurut Shamsul Nizam, sindiket itu yang aktif sejak sebulan lalu dikesan membuat pengubahsuaian pada bahagian tangki lori lima tan untuk mengisi minyak diesel sehingga mampu mencapai kapasiti 4,000 hingga 4,500 liter bagi sebuah lori dengan menyasarkan jualan untuk kegunaan pihak industri.
“Ketika serbuan terdapat dua buah lori lima tan sedang mengisi minyak diesel bersubsidi menggunakan dua nozel di pam stesen minyak berkenaan ke dalam tangki lori yang telah diubahsuai.
“Hasil serbuan ke atas premis stor penyimpanan pula mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sedang dilakukan daripada dua buah lori lima tan lain disyaki milik sindiket sama ke dalam sebuah lori tangki untuk tujuan penjualan kepada pihak industri,” katanya dalam sidang akhbar di Nilai dekat sini hari ini.
Jelas Shamsul Nizam, berdasarkan siasatan, pemandu lori lima tan tersebut menjalankan aktiviti mengisi minyak diesel tiga kali sehari dengan jumlah RM500 sekali isian di stesen minyak tersebut.
“Dalam serbuan ini, pihak KPDNHEP telah menyita empat buah lori lima tan dan sebuah lori tangki, 26,459 liter minyak diesel, alat sambungan hos dan alatan lain dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM215,680.
“Turut ditahan lima pemandu lori dan masing-masing seorang pemilik stesen minyak dan seorang penjaga stor berusia 25 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Shamsul Nizam berkata, siasatan lanjut terhadap kes itu akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut dari stesen minyak ke tempat penyimpanan sehingga ke peringkat pembeli.
“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan oleh syarikat yang terlibat.
“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya. –UTUSAN











