Pegawai pemantau Mindanao diingat sedia hadapi sebarang kemungkinan - Utusan Malaysia

Pegawai pemantau Mindanao diingat sedia hadapi sebarang kemungkinan

YAZID Arshad (hadapan, dua dari kiri) bergambar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Force Integration Training (FIT), Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke-17 (TPA M-17) di Auditorium Ban Ki-Moon, Pusat Pengaman Malaysia di Port Dickson, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke-17 (TPA M-17) perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan selain diharap tidak menyebelahi mana-mana pihak yang bertelingkah ketika menjalankan misi pemantau di Filipina pada April ini susulan pilihan raya umum di negara tersebut.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral (TUDM) Datuk Yazid Arshad berkata, peringatan itu adalah penting kerana pihaknya menjangkakan pegawai terlibat akan menghadapi situasi sukar pada waktu berkenaan.

“Filipina akan mengadakan pilihan raya umum pada 9 Mei ini, jadi bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Force Integration Training (FIT), TPA M-17 di Auditorium Ban Ki-Moon, Pusat Pengaman Malaysia di sini hari ini.

Menurut Yazid, sekiranya terdapat pegawai yang cenderung kepada satu pihak, objektif untuk mencapai keamanan berpanjangan di Mindanao tidak mampu dicapai.

“Apabila emosi menguasai diri maka kehadiran pegawai terlibat tidak akan lagi bersikap adil dan dilihat lebih cenderung berpihak atau berat sebelah. Jadi, perlu menjadi seorang yang neutral sebagaimana yang dikehendaki,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau, kumpulan pendahuluan TPA-M17 akan diatur gerak pada 26 Mac depan manakala kumpulan TPA-M16 akan menamatkan misi pada 10 April ini.

“Kumpulan pendahuluan ini diatur gerak menggunakan pesawat komersial dan tiba awal di Cotabato, Iligan dan Zamboanga bagi melaksanakan serah terima tugas Majlis Transfer of Authority (TOA) yang dijadual pada 11 April nanti.

“Kumpulan induk TPA-M17 pula akan digerakkan menggunakan pesawat C-130 TUDM pada 10 April ini,” katanya yang memberitahu TPA-M17 akan disertai seramai 15 pegawai dan diketuai Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Sementara itu katanya, FIT dilaksanakan bagi memastikan pegawai didedahkan dengan tahap kesiagaan dan pengetahuan yang bersesuaian bagi melaksanakan tugas dalam misi pemantauan di Mindanao. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN