naik sewa

DAP minta MPTI tangguhkan kadar sewa baharu 

WOO Kah Leong (depan, dua dari kiri) memimpin DAPSY Teluk Intan membantah kenaikan sewa premis MPTI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN:  DAP Teluk Intan membantah kenaikan sewa premis perniagaan di bawah Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Ketua DAPSY Teluk Intan, Woo Kah Leong berkata, peniaga menyatakan kerisauan selepas mendapat notis MPTI berkaitan perjanjian penyewaan semula dan cagaran tambahan bagi premis yang disewa.

Menurutnya, kerisauan juga kerana MPTI yang akan menguatkuasakan kadar sewa baharu itu  tidak dinyatakan tarikh yang spesifik. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hal ini merunsingkan penyewa disebabkan perniagaan yang masih hambar dan bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

“Selepas Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming membantah kenaikan kadar sewa tahun lepas, MPTI telah menangguhkan pelaksanaannya.

“Namun kini kenaikan kadar sewa yang membebankan peniaga kecil itu timbul semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kah Leong meminta semua 24 Ahli Majlis MPTI menggunakan Seksyen 21 dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan memanggil mesyuarat khas segera untuk menangguhkan penguatkuasaan kadar sewa baru itu.

Menurutnya, tempoh tujuh hari yang diarahkan untuk penyewa menyediakan wang cagaran, wang setem hasil, wang proses dan tindakan menjelaskan tunggakan sekiranya ada, tidak munasabah dalam situasi ekonomi hari ini.

“Ini memberi tekanan kepada penyewa yang rata-ratanya merupakan peniaga kecil yang terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya. 

Kah Leong berkata, notis yang dikeluarkan MPTI juga tidak menyatakan secara jelas kadar sewa baharu yang perlu ditanggung oleh penyewa. 

“Pihak berkenaan digesa secara telus menyatakan kadar sewa baharu yang hendak dikuatkuasakan agar penyewa tahu kos yang perlu ditanggung sebelum menandatangani sebarang perjanjian penyewaan semula,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini