BUKIT KAYU HITAM: Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui sempadan negara Malaysia-Thailand di sini semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan 2 Divisyen hari ini, PATI terbabit ditahan pada Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di laluan haram Felda Bukit Tangga di sini pada pukul 3.44 pagi.
“Anggota yang melakukan rondaan di laluan sempadan Malaysia-Thailand ternampak sekumpulan orang awam dalam kedudukan meniarap dengan cubaan melintasi pagar sempadan.
“Pasukan ronda itu terus membuat serbuan di lokasi kumpulan tersebut dan menahan serta melakukan pemeriksaan kepada setiap individu,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati 20 orang awam tersebut tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki sebagai PATI.
Jelasnya, susulan daripada itu, anggota rondaan menahan kesemua orang awam tersebut dan dibawa ke Pos 5 untuk siasatan.
“Siasatan awal mendapati, kesemua mereka merupakan PATI warga Myanmar yang berusia dalam lingkungan antara 15 hingga 55 tahun yang terdiri daripada 17 lelaki dan tiga perempuan.
“Turut dirampas pelbagai barangan peribadi, telefon bimbit, dan matawang Myanmar, Thailand serta Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan RM6,801,” tambahnya.
Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam manakala kesemua PATI diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan beroperasi sentiasa bersedia mengawal dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,” katanya. – UTUSAN











