Jambatan runtuh, pelajar ke sekolah naik bot tempur - Utusan Malaysia

Jambatan runtuh, pelajar ke sekolah naik bot tempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Tentera Darat hari ini memberi bantuan pengangkutan bot kepada 26 orang pelajar sekolah dari Kampung Bemban, Simpang Durian di sini yang terputus hubungan melalui jalan darat akibat banjir baru-baru ini.

Banjir besar yang melanda daerah ini pada 19 Disember yang lalu telah mengakibatkan jambatan yang menjadi laluan ke kampung tersebut runtuh dipukul arus air Sungai Teriang yang deras.

Pegawai Memerintah, Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Senawang Leftenan Kol. Isma Zaini Ismail berkata, susulan itu juga, pihaknya telah memberi bantuan tersebut bagi memudahkan pelajar untuk ke sekolah masing-masing.

“Ini merupakan bantuan pasca banjir di mana jambatan yang telah menghubungkan Kampung Bemban dengan Kampung Jerang terputus hubungan sejak kejadian banjir yang berlaku 19 Disember tahun lalu.

“Kami telah membantu mereka (pelajar) ke sekolah dan menghantar mereka pulang dengan menaiki sebuah bot tempur ini. Anggota dari 15 RAMD telah ditempatkan di sini sejak 21 Disember yang lalu bagi memudahkan penduduk Kampung Bemban berhubung ke Kampung Jerang di mana terdapat sekolah dan beberapa kemudahan lain.

“Anggota ini akan bersiap sedia seawal pukul 6.15 pagi bagi memastikan pelajar yang bersekolah dapat menaiki bot dan menunggu mereka sehingga waktu pulang tengah hari nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di tepi Sungai Teriang di Kampung Jerang, Simpang Durian, di sini hari ini.

Seramai 26 orang pelajar dari Kampung Bemban yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tipus, SK Sungai Buloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir telah menaiki bot yang disediakan Tentera Darat pada pagi ini.

Dalam pada itu, menurut Isma Zaini, pihaknya juga sudah tentu akan memastikan tahap keselamatan pelajar terjamin sepanjang berada di dalam bot.

“Kami telah menyediakan jaket keselamatan dan menghadkan hanya kurang daripada 10 orang berada di dalam bot pada satu-satu masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Menengah dan Tingkatan 6 Sektor Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu, Anuar Rahim berkata, pihaknya kemudian turut menyediakan tiga buah van bagi membawa pelajar ke sekolah selepas turun daripada bot tersebut.

“Kami akan memberi bantuan membawa pelajar berkenaan menaiki tiga van yang disediakan bagi mengambil pelajar di tepi sungai ini bagi membolehkan mereka ke sekolah seperti biasa.

“Kami berharap pelajar dapat ke sekolah walaupun perlu menaiki bot dan berharap juga mereka lebih bersemangat,” katanya.

Sebelum ini, susulan kejadian jambatan yang runtuh tersebut, Tentera Darat menerusi Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen telah diatur gerak bagi membina sebuah jambatan Bailey bagi kemudahan penduduk Kampung Bemban yang melibatkan 28 buah rumah.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya