JEMPOL: “Terima kasih.” Itu titah ringkas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika mencemar duli berjumpa penyokong baginda di perkarangan Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, di sini hari ini.
Lebih 1,500 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut bersama baginda.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi), Muhamad Kamel Yassin.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Sokongan DYMM Tuanku YDPB, Datuk Seri Megat D Shahriman Datuk Zaharuddin berkata, kira-kira 200 individu daripada 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir sebagai tanda sokongan kepada Tuanku Muhriz.
Menurutnya, kehadiran itu mencerminkan sokongan berterusan bagi mempertahankan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Pada hari ini kita dapat berkumpul dan insya-Allah kita akan sentiasa mempertahankan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Semangat ini yang kita tunjukkan bahawa kami sentiasa menyokong Tuanku,” katanya ketika ditemui di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, di sini hari ini.
Terdahulu, Tuanku Muhriz berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Ketibaan baginda sekeluarga pada pukul 1 tengah hari disambut oleh Penghulu Luak Jempol, Datuk Lela Putra Setiawan, Datuk Mazri Mansor serta dua lagi Penghulu Luak Tanah Mengandung, iaitu Penghulu Luak Inas dan Penghulu Luak Gunung Pasir, selain barisan datuk adat.
Selesai solat Jumaat, Tuanku Muhriz bersama putera baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak, yang menjadi amalan kelaziman baginda setiap kali berangkat ke masjid tersebut.
Baginda kemudiannya berangkat menghadiri jamuan santapan bersama rakyat sebelum berangkat pulang.-UTUSAN










