KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar dan berasas untuk menggantung atau menyemak semula kontrak NexG Berhad (NexG) jika dapatan siasatan mengesahkan salah laku serius melibatkan dakwaan salah guna dana Ketua Pegawai Operasinya, Victor Chin.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kerajaan juga wajar mengarahkan audit bebas atau audit forensik, selain meletakkan syarat tatakelola tambahan (enhanced governance conditions) ke atas syarikat berkenaan.
Katanya, kerajaan juga berasas menetapkan dasar jelas bahawa syarikat berkepentingan strategik mesti menjawab dakwaan awam secara telus dalam tempoh munasabah.
“Pendekatan ini menyeimbangkan kepentingan integriti awam, perlindungan wang pembayar cukai, dan prinsip keadilan dan undang‑undang.
“Dakwaan terhadap Victor Chin dan isu tatakelola NexG adalah serius dan melibatkan kepentingan negara, tetapi belum diputuskan oleh mahkamah.
“Setakat ini, tiada hukuman rasmi dikenakan. Kerajaan tidak patut bertindak secara pramatang, tetapi wajar mengambil langkah kawal selia tegas dan bersyarat.
“Isyarat yang paling kuat kepada pasaran ialah kontrak kerajaan datang bersama tanggungjawab tatakelola tertinggi, bukan imuniti,” katanya hari ini.
Pada Oktober 2025, NexG membuat pemakluman kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM732.72 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pembekalan kad pengenalan nasional Malaysia.
Syarikat teknologi maklumat dan komunikasi itu menyatakan bahawa kontrak tersebut merangkumi pembekalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA (struktur baharu) untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan ia akan berjalan selama enam tahun bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.
Baru-baru ini, NexG menegaskan bahawa syarikat itu kekal mematuhi piawaian kawal selia dan tadbir urus korporat, tetapi tidak akan memberikan komen lanjut berhubung dakwaan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang mengaitkan bekas Ketua Pegawai Operasinya, Victor Chin Boon Long, dengan isu salah guna dana.
Victor Chin, yang memegang jawatan COO dari November 2024 hingga September 2025, didakwa oleh MCW sebagai berpotensi menggelapkan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta. MCW sebelum ini menyerahkan memorandum kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datukk Abu Hanifah Noordin, menggesa penjelasan yang jelas dan telus diberikan kepada umum.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, kerajaan tidak wajar menamatkan kontrak secara automatik hanya berdasarkan dakwaan, tanpa dapatan siasatan rasmi, audit forensik bebas, atau keputusan mahkamah.
Katanya, setakat ini, tiada sabitan mahkamah terhadap Victor Chin atau NexG dan tiada pengumuman penalti atau kompaun oleh Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia atau mahkamah terhadap NexG berkaitan dakwaan ini.
“Siasatan polis dan agensi penguatkuasaan masih berjalan, hasil laporan NGO dan liputan media. Tiada kontrak kerajaan yang dibatalkan secara rasmi setakat ini,” katanya. – UTUSAN










