Ruang Jabatan Kecemasan HKL mengecil 50% akibat naik taraf

Ruang Jabatan Kecemasan HKL mengecil 50% akibat naik taraf

DR. HARIKRISHNA K.R. NAIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini beroperasi dalam kawasan terhad sehingga 50 peratus susulan kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan.

Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K. R. Nair berkata, projek tersebut merupakan perancangan strategik bagi menampung peningkatan kapasiti pesakit serta meningkatkan keselesaan perkhidmatan pada masa hadapan.

Beliau berkata, paparan tular di media sosial baru-baru ini yang menggambarkan jabatan berkenaan seperti ‘zon perang’ adalah disebabkan proses naik taraf yang sedang dijalankan.

Katanya, sepanjang tempoh projek, separuh daripada ruang sedia ada digunakan sebagai laluan kerja naik taraf, sekali gus menyebabkan jabatan berkenaan terpaksa beroperasi dalam ruang yang lebih terhad.

“Walaupun berdepan kekangan ruang, perkhidmatan kesihatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma tetap diteruskan dengan mengamalkan prinsip ‘no wrong door’.

“Semua kes akan terus diberikan rawatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr. Harikrishna berkata, keadaan infrastruktur yang dilihat uzur ketika ini adalah bersifat sementara berikutan kerja-kerja ubah suai yang sedang dijalankan.

Katanya, kemudahan seperti kerusi untuk pesakit dan waris akan ditambah mengikut kapasiti khemah menunggu sedia ada bagi meningkatkan keselesaan pelanggan.

Beliau berkata, projek naik taraf tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“HKL sentiasa komited memastikan operasi jabatan berjalan lancar sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN