Auto Bavaria perkenal MINI Paul Smith Edition 

Auto Bavaria perkenal MINI Paul Smith Edition 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Auto Bavaria terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen automotif premium apabila memperkenalkan model edisi khas terbaharu, MINI Paul Smith Edition, kepada pelanggan dan peminat setia MINI (MINIacs) baru-baru ini.

MINI Paul Smith Edition mempunyai dua pilihan warna iaitu White (putih) dan Statement Grey (kelabu) mencerminkan gabungan reka bentuk ikonik MINI dengan sentuhan kreatif pereka fesyen terkenal, sekali gus memperluas penawaran gaya hidup jenama tersebut dalam pasaran tempatan.

Pengarah MINI Malaysia, Linnet Yew berkata, model edisi khas, MINI Paul Smith Edition melambangkan DNA kreatif jenama itu serta semangat individualiti yang menjadi teras kepada MINI.

“Model ini bukan sekadar kenderaan, tetapi ekspresi gaya hidup yang menonjolkan kehalusan buatan, karakter tersendiri dan identiti unik pemiliknya,” katanya dalam kenyataan.

Selain model tersebut, Auto Bavaria turut mempamerkan beberapa edisi terhad lain bagi memperkukuh portfolio produknya, termasuk MINI Countryman Stealth Limited Edition, MINI Countryman Shadowline Limited Edition, MINI 1965 Victory Edition serta MINI John Cooper Works GP Inspired Edition. 

Setiap model dihasilkan dalam kuantiti terhad, sekali gus meningkatkan nilai eksklusiviti dalam pasaran.

Acara itu turut menawarkan pengalaman pemanduan uji malam, membolehkan tetamu merasai sendiri prestasi “go-kart handling” MINI dalam suasana bandar yang dinamik.

Sementara itu, Ketua Operasi Auto Bavaria, Wong Loke Win berkata penganjuran acara tersebut selari dengan inisiatif komuniti eksklusif syarikat, Vibrant Society, yang bertujuan memperkukuh hubungan pelanggan melangkaui pemilikan kenderaan.

“Pengenalan model edisi khas ini mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan, bukan sahaja dari segi jualan dan selepas jualan, tetapi juga melalui penglibatan gaya hidup yang bermakna,” katanya.

Menurutnya, sambutan menggalakkan terhadap acara tersebut turut memperkukuh reputasi Auto Bavaria sebagai pengedar utama dalam segmen premium, disokong oleh rekod 14 tahun berturut-turut menerima pengiktirafan industri.

Dengan rangkaian bilik pameran di Ara Damansara, Kuala Lumpur, Balakong, Pulau Pinang dan Tebrau, Auto Bavaria dilihat terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan pasaran automotif premium serta memperluas pengalaman gaya hidup MINI di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN