SUATU ketika dahulu, kekuatan kelas pekerja di Malaysia terbina daripada ketahanan mental, jati diri dan kecekalan menghadapi kehidupan. Mereka memahami hidup tidak sentiasa mudah, kos sara hidup perlu ditanggung dan setiap cabaran menuntut pengorbanan serta usaha berterusan.
Sama ada bekerja di estet getah mahupun menetap di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), kelangsungan hidup menuntut kesungguhan, disiplin dan jiwa yang kental.
Namun, nilai tersebut semakin terhakis apabila sebahagian masyarakat mula menganggap teguran, tekanan dan ketidakselesaan sebagai ancaman terhadap emosi. Perkembangan ini jelas kelihatan menerusi kontroversi melibatkan Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin apabila menerima aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berhubung ceramahnya mengenai kelemahan Generasi Strawberi.
Fenomena ini turut memperlihatkan pengaruh budaya woke yang meletakkan perasaan tersinggung sebagai alasan untuk menolak teguran, sekali gus membentuk mentaliti terlalu sensitif terhadap kritikan.
Kita kini menyaksikan kecenderungan menggunakan istilah psikologi secara berlebihan sehingga kegagalan dalam peperiksaan, teguran majikan atau perbezaan pendapat mudah dilabel sebagai trauma.
Hakikatnya, masalah kesihatan mental yang sebenar perlu diberikan perhatian dan bantuan profesional. Namun, tekanan biasa dalam kehidupan tidak seharusnya disamakan dengan gangguan klinikal.
Apabila setiap kesukaran dianggap sebagai kecederaan emosi, seseorang mungkin menjadikan perasaan tersinggung sebagai alasan untuk mengelak tanggungjawab dan menolak teguran. Sikap ini akhirnya menyukarkan proses pembentukan peribadi yang matang.
Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan ini ialah pengaruh media sosial, khususnya platform seperti TikTok dan Instagram.
Kandungan berasaskan psikologi popular (pop psychology) sering mengetengahkan naratif tekanan ialah sesuatu yang toksik, teguran merupakan tindakan menjatuhkan maruah dan menjauhkan diri daripada individu yang tidak sependapat dianggap sebagai cara menjaga kesihatan emosi.
Pendedahan berterusan terhadap pemikiran sedemikian boleh melemahkan keupayaan anak muda menilai sesuatu perkara secara rasional. Mereka lebih mudah bertindak mengikut perasaan berbanding mempertimbangkan fakta, menerima pandangan berbeza atau memperbaiki kelemahan sendiri.
Kesan budaya ini turut dirasai di institusi pengajian tinggi (IPT). Universiti sepatutnya menjadi medan mengasah pemikiran kritis, menguji keupayaan berhujah dan membina kematangan intelektual.
Namun, pensyarah berhadapan kesukaran apabila ketegasan dalam penilaian atau perbincangan mengenai isu sensitif dianggap sebagai tindakan yang menyinggung perasaan pelajar.
Jika setiap pandangan berbeza dianggap ancaman terhadap emosi, bagaimana mahasiswa mahu membina keyakinan, mempertahankan hujah dan menghadapi realiti pekerjaan?
Alam kerjaya menuntut disiplin, kemampuan menerima kritikan serta kesediaan menyelesaikan masalah. Graduan yang tidak mampu mengurus tekanan bakal menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan tuntutan pekerjaan.
Apa yang membimbangkan ialah hakisan nilai kecekalan yang sekian lama menjadi kekuatan masyarakat kelas pekerja. Generasi terdahulu memahami manusia tidak mampu mengawal semua keadaan tetapi boleh menentukan cara menghadapi setiap cabaran.
Budaya mengadu kerana tidak berpuas hati terhadap sesuatu teguran juga berisiko mengalihkan perhatian daripada masalah pentadbiran sebenar. Sumber dan tenaga yang ada sepatutnya dimanfaatkan untuk menangani isu yang benar-benar menjejaskan kepentingan rakyat.
Ibu bapa, pendidik dan masyarakat perlu memainkan peranan membina daya tahan anak muda tanpa mengabaikan keperluan menjaga kesihatan mental. Mereka perlu dididik supaya berani menerima teguran, bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan kegagalan. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. JAMALUDDIN AZIZ
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)











