1,537 kes tipu kerja sambilan babit kerugian RM31.8 juta

1,537 kes tipu kerja sambilan babit kerugian RM31.8 juta

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,537 kes penipuan tawaran kerja sambilan (job scam) direkodkan membabitkan kerugian RM31.8 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, angka itu direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Menurutnya, modus operandi sindiket dengan menawarkan pekerjaan sambilan selain meminta wang pendahuluan.

“Penipuan tawaran kerja sambilan (job scam) semakin berleluasa, terutamanya melalui media sosial dan aplikasi mesej. 

“Orang ramai dinasihatkan jangan bayar wang pendahuluan  kerana majikan/syarikat sah tidak akan meminta wang untuk yuran pendaftaran, latihan, deposit, atau pembelian alatan sebelum memulakan kerja.

“Berwaspada dengan tawaran terlalu lumayan  kerana kerja mudah seperti “like & follow” media sosial tetapi menjanjikan gaji atau komisen tidak masuk akal tinggi adalah tanda amaran utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata,  orang ramai juga perlu membuat kajian latar belakang syarikat sebelum memohon.

“Jangan mudah kongsi maklumat peribadi sensitif seperti nombor akaun bank, salinan kad pengenalan, atau kata laluan kepada perekrut yang tidak dikenali.

“Tawaran kerja yang hanya dibuat melalui WhatsApp/Telegram oleh nombor tidak dikenali tanpa melalui saluran rasmi (e-mel korporat, portal kerja) adalah mencurigakan,” katanya.

Katanya, cari pekerjaan melalui platform yang diiktiraf seperti LinkedIn, Indeed, JobStreet, atau portal rasmi syarikat.

“Sindiket mengaburi mangsa dengan memberikan gaji/ komisen awal bagi beberapa kerja namun sebaliknya selepas anda serahkan wang yang lebih banyak.

“Rujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau semak akaun bank/ nombor telefon scammer di Semakmule- PDRM,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN