Polis temukan 61 tikaman pada mayat wanita mati dibunuh di Ketereh

Polis temukan 61 tikaman pada mayat wanita mati dibunuh di Ketereh

ANGGOTA Unit Forensik Polis mengusung jenazah seorang wanita yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman pada badan badannya di Kampung Simah, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan tengah malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan seorang wanita yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah, Ketereh dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pasukan forensik ke atas tubuh wanita berkenaan bermula dari bahagian muka sehingga kaki.

Katanya, kebanyakan kecederaan itu tertumpu pada bahagian kanan badan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat. Kita telah kenal pasti identiti mangsa hasil semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Polis klasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat wanita berkenaan pada pukul 12.30 tengah malam daripada orang awam.

Katanya, pemerhatian awal di lokasi mendapati mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah pada tangan kanan.

“Semasa kejadian, mangsa juga berpakaian baju lengan panjang hitam dan seluar panjang hitam. Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan beberapa barangan lain termasuk manik berwarna-warni, cermin mata dan selendang.

“Bagaimanapun, tiada dokumen pengenalan diri ditemukan. Unit anjing pengesan dari K9 telah digerakkan bagi tujuan pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.

Katanya, lokasi kejadian merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dan terletak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi ASP Ganesan di talian 012-5691204,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, penduduk di Kampung Kubang Getah, Kereteh di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan, malam tadi.

Wanita berusia lingkungan 20-an itu ditemukan orang awam yang melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumah kira-kira pukul 12.30 malam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN