17 daerah dan 6 negeri masih terjejas banjir, 4,635 mangsa di PPS - Utusan Malaysia

17 daerah dan 6 negeri masih terjejas banjir, 4,635 mangsa di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak enam negeri dilaporkan terkesan dengan bencana banjir melibatkan 17 daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Sabah masih terjejas. 

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), seramai 4,635 mangsa daripada 1,394 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 71 pusat perlindungan sementara (PPS).

Sekretariat itu bagaimanapun memaklumkan, sejumlah 786 PPS sudah ditutup yang mana 114,826 mangsa daripada 31,852 KIR pulang ke rumah masing-masing sekali gus menjadikan jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara seramai 119,639 orang daripada 33,326 KIR.

“Sehingga pukul 2 petang ini, operasi banjir seluruh negara melibatkan keanggotaan 12,090 anggota agensi responder menggunakan sejumlah 2,231 gabungan aset pelbagai agensi sedang beroperasi. 

“Bagi edaran bekalan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat 478,556 pek makanan yang disediakan sebanyak tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir,” katanya hari ini.

 Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, pihak JKM diarah memastikan stok bekalan makanan mencukupi untuk menghadapi gelombang banjir pada kali ini. 

Katanya, bagi Status Terkini Infrastruktur Komunikasi Yang Terjejas Bencana Banjir 2021, sehingga pukul 10 pagi tadi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) memaklumkan sebanyak 1,007 daripada 1,039 infrastruktur komunikasi dibaik pulih bersamaan 96 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi terjejas. 

Katanya, baki 32 lokasi struktur komunikasi masih dalam proses baik pulih menerusi data terkumpul bermula 19 Disember lalu melibatkan infrastruktur komunikasi terjejas dibaik pulih sepenuhnya di Kuala Lumpur, Putrajaya, Port Dickson, Rembau, Seremban,  Pekan, Raub, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak. 

Menurut laporan kejadian tanah runtuh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula, terdapat pertambahan sebanyak tujuh kejadian tanah runtuh melibatkan Selangor (enam) dan Negeri Sembilan (satu) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 140 kejadian di seluruh negara.

Katanya, JMG turut memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan seliaan masing-masing kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengemukakan laporan kepada JMG negeri bagi inventori tanah runtuh sepanjang Monson Timur Laut (MTL) 2021/2022.  

Jabatan Kerja Raya (JKR) juga melaporkan terdapat kejadian bencana di 53 lokasi merangkumi banjir (empat), cerun runtuh (37), masing-masing satu kes melibatkan jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.  

“Setakat 30 Disember lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan, SW Corp Malaysia selesai melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak 85 peratus daripada kawasan terjejas banjir di lima negeri (Pahang, Melaka,  Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor telah dibersihkan) dengan anggaran jumlah sisa di tapak transit adalah 2,269 tan, manakala di tapak pelupusan lain sebanyak 4,142 tan. 

“Kerja-kerja pembersihan sisa sampah melibatkan 2,286 pekerja dengan 908 jentera,” katanya.  – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya