Lelaki warga Indonesia maut digilis jentolak - Utusan Malaysia

Lelaki warga Indonesia maut digilis jentolak

LOKASI kejadiuan seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang rumah maut selepas digilis jentolak di sebuah premis perniagaan di Kilometer 29, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol, tengah hari tadi. - GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang rumah maut selepas digilis jentolak dalam kejadian di sebuah premis perniagaan di kilometer 29, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Mursidi, 45, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa pemandu jentolak iaitu seorang lelaki berusia 66 tahun yang juga merupakan penyelia sedang bekerja di dalam premis tersebut.

“Semasa proses pemindahan barangan dilakukan, pemandu tersebut sedang mengundur jentolak dan dia tidak mengetahui mangsa berada di belakang sebelah kanan jentolak sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan terus menggilis mangsa yang berada di belakang jentolak tersebut.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, mangsa sememangnya sering datang ke premis berkenaan bagi membeli barangan disebabkan pekerjaannya sebagai tukang rumah dan sudah lama mengenali pemandu jentolak berkenaan.

Menurutnya, semasa kejadian, pemandu jentolak sedang mengalihkan batu simen dan besi serta ternampak mangsa dari jauh dan memanggil mangsa namun tidak menyedari mangsa sudah berada di belakang jentolaknya sehingga menggilis mangsa.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN